Ahad, 23 Januari 2022 | 2:16pm
Foto hiasan
Foto hiasan

COVID-19: Kadar Rt lonjak cecah 1.07 semalam

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di negara ini terus melonjak hingga mencecah 1.07, semalam, selepas meningkat melepasi 1.00 sehari sebelumnya.

Kelmarin, Malaysia merekodkan Rt 1.03 selepas beberapa minggu kadar pada peringkat kebangsaan cuma berlegar antara 1.00 dan 0.99.

Berdasarkan infografik dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui Twitter beliau, kadar Rt terendah pada Januari setakat ini dicatat dari 5 hingga 7 Januari lalu dengan nilai antara 0.96 hingga 0.95.

Empat negeri dan Wilayah Persekutuan pula mencatat Rt melebihi kadar kebangsaan yang didahului Negeri Sembilan dengan 1.13, diikuti Kuala Lumpur (1.09), Kedah (1.09) dan Melaka (1.08), manakala Johor (1.07), Putrajaya (1.04), Selangor (1.03) serta Pulau Pinang (1.03).

Negeri merekodkan Rt 1.00 dan ke bawah ialah Sabah (1.00), Kelantan (0.99), Pahang (0.97), Perak (0.97), Terengganu (0.79), Perlis (17 kes), Sarawak (14 kes) dan Labuan (lima kes).

Angka harian kes COVID-19 di negara ini kembali melepasi 4,000 untuk dua hari berturut-turut dengan 4,116 jangkitan, semalam, dan 4,046 kelmarin.

Berita Harian X