X
Ahad, 23 Januari 2022 | 1:51pm

MAFI tambah peruntukan RM62 juta bantu pesawah

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyalurkan peruntukan tambahan RM62 juta kepada pesawah yang terjejas akibat kenaikan harga racun bagi memulakan tanaman musim 1/2022.

Menterinya, Datuk Dr Seri Dr Ronald Kiandee, berkata peruntukan tambahan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesawah yang mengusahakan 620,000 hektar kawasan penanaman.

Katanya, peruntukan itu tambahan RM100 kepada bantuan subsidi racun sebanyak RM200 yang diterima pesawah sebelum ini., manakala subsidi baja diteruskan.

"Pihak kementerian sentiasa mencari jalan untuk membantu pesawah dan petani walaupun berlaku kenaikan mendadak harga racun di pasaran dunia," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Logo Sambutan 50 tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 1972- 2022 di Ladang Merdeka, Jelor, di sini hari ini.

Ronald berkata, kenaikan harga racun dan baja mungkin menjejaskan sektor pertanian lain, namun bagi pesawah, mereka sentiasa dijaga kerajaan yang memberikan pelbagai inisiatif seperti Skim Inisitif Pengeluaran Padi (SIPP) dan subsidi baja.

Katanya, selain menjaga kebajikan pesawah dari sudut kos pengurusan, kementerian juga sentiasa mencari jalan meningkatkan pengeluaran hasil padi negara, antaranya menerusi Projek Perintis Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

"Sekian lama kita bagi subsidi baja dan racun, bantuan itu kita kekalkan. Menerusi SMART SBB pula, kita tingkatkan pengeluaran padi dan beras. Jika sekarang mampu hasilkan empat tan setiap hektar, kita sasar mampu keluarkan tujuh hingga lapan tan setiap hektar," katanya.

Beliau berkata, peningkatan hasil padi mampu dijayakan dengan aplikasi teknologi dan pengurusan yang efisien, termasuk kerjasama pintar agensi dan pihak swasta.

Ronald turut menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara KADA dan Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) serta MoU di antara KADA dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) bagi membangunkan projek SMART SBB di Pasir Puteh dan Pasir Mas.

Bagi kawasan Pasir Puteh, seluas 34 hektar ladang Merdeka Jelor, selain 100 hektar di Bunut Susu, Pasir Mas akan dilaksanakan program SMART SBB bersama BERNAS dengan kos anggaran RM10 juta bagi tempoh 15 tahun, merangkumi pembiayaan insfrastruktur dan pengairan serta penyuburan tanah bagi projek sulung SMART SBB di Kelantan itu.

Program SMART SBB menjadi hala tuju baharu industri padi dan beras negara yang dilaksanakan MAFI bagi meningkatkan produktiviti mencapai tahap sara diri (SSL) beras ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12, iaitu sebanyak 75 peratus daripada SSL sekarang pada 70 peratus.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo Sambutan 50 tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 1972-2022 di Ladang Merdeka, Jelor, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo Sambutan 50 tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 1972-2022 di Ladang Merdeka, Jelor, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X