Sabtu, 22 Januari 2022 | 8:24pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Dos penggalak kurang kesan sampingan

KUALA LUMPUR: Kadar Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak didapati kurang berbanding keseluruhan rekod dicatatkan sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar pelaporan AEFI bagi suntikan penggalak ialah 0.1 bagi setiap 1,000 dos, berbanding perangkaan keseluruhan iaitu 0.4 bagi setiap 1,000 dos.

Katanya, antara kesan sampingan dilaporkan adalah demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, dan keletihan.

"Sejak PICK dilaksanakan hingga kelmarin, sejumlah 61,723,654 dos vaksin COVID-19 diberikan termasuk 10,192,887 dos penggalak.

"Secara keseluruhannya, sistem pelaporan AEFI Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menerima sejumlah 24,411 laporan termasuk 984 kes membabitkan dos penggalak.

"Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, 51 kes (5.2 peratus) diklasifikasikan sebagai serius iaitu bersamaan kadar 0.005 laporan bagi setiap 1,000 dos.

"Pemantauan laporan AEFI diterima NPRA setakat ini menyimpulkan pola dan kadar pelaporan AEFI membabitkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada dicatatkan semasa pemberian dos primer.

"Pola sama dilaporkan negara lain yang menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin COVID-19," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berita Harian X