X
Sabtu, 22 Januari 2022 | 1:06pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

PERKESO buka permohonan program di bawah Bajet 2022

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menggalakkan Keluarga Malaysia khususnya individu yang layak untuk mengemukakan permohonan membabitkan enam program Kementerian Sumber Manusia di bawah Bajet 2022.

Semua program yang dilaksanakan menerusi PERKESO itu adalah Sistem Insurans Pekerja (SIP) Subsidi Upah Bersasar, SIP Elaun Mencari Pekerjaan, SPS Padanan Caruman, SPS Khidmat, Program JaminKerja – Insentif Penggajian dan SIP Gig.

Mengulas permohonan bagi SIP Subsidi Upah Bersasar (PSU 5.0), PERKESO berkata, ia terbuka kepada majikan daripada sektor pelancongan yang terkesan dan mengalami penurunan pendapatan akibat COVID-19.

"Majikan boleh membuat permohonan dalam program PSU 5.0 bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Mac 2022 .

"Insentif kewangan yang diberikan adalah sebanyak RM600 sebulan untuk setiap pekerja selama tiga bulan, terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap perusahaan," kata kenyataan itu.

Selain itu, individu yang kehilangan pekerjaan atau sedang mencari pekerjaan boleh memohon Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) melalui program SIP Elaun Mencari Pekerjaan+ (SIP EMP+).

"Bagi meneruskan pemberian bantuan SIP Prihatin 2.0 yang berakhir pada 31 Disember lalu, inisiatif ini ditambah baik yang mana bantuan kewangan turut diberikan kepada pencarum dan bukan pencarum PERKESO.

"Permohonan sudah dibuka bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 30 Jun ini bagi pencarum PERKESO dan bagi individu bukan pencarum PERKESO dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember ini,"katanya.

Kenyataan itu juga berkata, golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS) khususnya daripada lapan kategori seperti Orang Asli atau Orang Asal, pekerja gig, penjaja, Orang Kurang Upaya (OKU), pengusaha sektor pelancongan, artis, petani dan usahawan wanita, boleh memohon insentif SPS Padanan Caruman.

Melalu inisiatif itu, mereka dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO selama setahun.

"Permohonan SPS Padanan Caruman boleh dibuat mulai 1 Januari lalu sehingga 31 Disember di mana bantuan dalam bentuk pembiayaan padanan caruman di bawah pelan caruman kedua SKSPS ini akan dibiayai oleh kerajaan sebanyak 80 peratus (RM186.20), manakala baki 20 peratus (RM46.60) perlu dibayar oleh OBS.

"OBS yang tergolong dalam empat kategori iaitu anggota pasukan sukarelawan, pekhidmat rumah ibadat Islam (JAKIM), penyelia, petugas pemulihan komuniti dan anggota sektor awam berstatus Contract For Service layak memohon program SPS Khidmat bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2022 dengan mengemukakan permohonan melalui agensi pentadbiran kawal selia," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, majikan yang membuat pengambilan pekerja baharu dalam kalangan perantis, graduan dan golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas tentera dan bekas banduan boleh memohon insentif penggajian menerusi Program JaminKerja – Insentif Penggajian secara talian bermula17 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Sehubungan itu, majikan daripada semua kategori industri yang berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 Januari lalu boleh menikmati insentif maksima sebanyak RM36,000 untuk setiap pekerja yang digajikan dalam tempoh 12 bulan.

Mengulas lanjut, Individu yang tergolong dalam kumpulan yang diberikan notis cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja, menganggur lebih 60 hari, pencari kerja daripada golongan terjejas atau suri rumah yang tidak bekerja lebih dari enam bulaneh memohon insentif kewangan di bawah program SIP Gig bermula 17 Januari lalu sehingga 30 Jun.

Program ini menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM600 sehingga RM800 sebulan selama enam bulan kepada individu yang bekerja dalam sektor tidak formal atau ekonomi gig melalui platform berdaftar di bawah PERKESO untuk jangka masa pendek.

PERKESO turut memberitahu, semua permohonan boleh dibuat dengan melayari laman web rasmi agensi itu, kecuali bagi SPS Khidmat.

Bagi inisiatif SIP EMP+ (individu bukan pencarum PERKESO), SPS Padanan Caruman dan SIP Gig, permohonan juga boleh dibuat menerusi Aplikasi PRIHATIN PERKESO.

Berita Harian X