Jumaat, 21 Januari 2022 | 6:36pm

Dua pelajar IPT raih gelaran juara AYDA 2021

ANUGERAH Pereka Muda Asia (AYDA) ke-14 di Malaysia bagi tahun 2021 melabuhkan tirai dengan pengumuman Muhammad Afzal Hasmi dan Amirah Afiqah Abdullah sebagai pemenang bagi kategori Seni Bina dan Reka Bentuk Dalaman.

Anugerah yang dianjurkan oleh Nippon Paint Malaysia dengan kerjasama rakan kongsi IJM Land Berhad ini memperoleh sejumlah 1,276 penyertaan untuk kedua-dua kategori Seni Bina dan Reka Bentuk Dalaman.

Membawa tema 'FORWARD: Amplifying Empathy Through Design', pertandingan ini mencabar pereka generasi baharu untuk melangkaui reka bentuk ruang satu dimensi dan menggabungkan permintaan pengguna serta mengambil kira kelestarian dan penjagaan alam sekitar.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Nippon Paint Malaysia, Yaw Seng Heng, pemenang yang dipilih menggambarkan objektif tema dengan jelas dalam reka bentuk mereka dengan penyelesaian reka bentuk yang menggabungkan kemampanan, sosial dan faktor emosi.

Image

Muhammad Afzal Hasmi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang merangkul gelaran juara bagi kategori Senibina dengan projeknya yang bertajuk Pusat Komuniti Sejahtera tampil dengan reka bentuk dengan kemudahan inovatif.

Projek ini bertujuan memperkasakan keusahawanan tempatan bagi mengekalkan sumber mata pencarian dan keperluan sosial orang ramai ketika norma baharu dalam mencapai keharmonian dan masyarakat sosio-ekonomi yang berdaya tahan.

Image

Manakala, Amirah Afiqah Abdullah dari City University of Malaysia pula muncul sebagai pemenang bagi kategori Reka Bentuk Dalaman dengan projek Bakau.

Reka bentuk ini bertujuan membangunkan hab pertanian dengan pelbagai aktiviti seperti komersial, sosial, pendidikan dan pusat pemeliharaan supaya manusia boleh hidup dalam ekosistem hutan bakau untuk kehidupan yang mampan.

Kedua-dua pemenang bakal mewakili Malaysia menentang finalis dari 16 buah negara di peringkat akhir antarabangsa.

Pengarah Urusan IJM Land Berhad, Dato' Edward Chong pula berkata, IJM Land Berhad optimis dengan usaha mereka menerusi AYDA dapat terus menggalakkan pelajar seni bina dan reka bentuk dalaman bertindak sebagai pemangkin untuk mempengaruhi persekitaran masa hadapan.

"Ia telah menjadi satu perjalanan yang hebat sepanjang lapan tahun ini dan kami menantikan lebih banyak tahun bersama AYDA," katanya.

Sepanjang pertandingan ini berlangsung, Nippon Paint Malaysia turut mengadakan beberapa interaksi digital dan sesi bimbingan maya bagi memastikan para peserta dapat berinteraksi dengan mentor dan jurulatih.

Menerusi sesi bimbingan ini, peserta memperoleh ilmu berkaitan industri secara langsung dan turut didedahkan dengan pelbagai bengkel dalam talian oleh pensyarah berpengalaman dan mereka yang profesional melalui sesi CAKAPLAH!

Ketua Hakim kategori Seni Bina, Ar. Sarly Adre Sarkum turut berkongsi bahawa para peserta benar-benar mencabar diri mereka dengan menghasilkan reka bentuk yang bukan sahaja menarik dari segi estetika malah memberi impak yang tinggi.

"Reka bentuk mereka menolak sempadan inovasi serta memberi penekanan yang besar kepada aspek emosi bagi memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah," ujarnya.

Saksikan rakaman penuh majlis penyampaian anugerah AYDA 2021 di laman rasmi Facebook AYDA Malaysia

Berita Harian X