Jumaat, 21 Januari 2022 | 3:43pm

Kes kembali lepasi 4,000

PUTRAJAYA: Kes positif baharu COVID-19 kembali melepasi angka 4,000 apabila sebanyak 4,046 kes dilaporkan setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkongsi ringkasan kes harian di media sosial, berkata ia menyumbang kepada sejumlah 2,824,973 kes, setakat ini.

Daripada jumlah berkenaan 3,557 adalah penularan tempatan membabitkan 3,449 warganegara (97.0 peratus) dan 108 bukan warganegara (3.0 peratus) manakala daripada 489 kes import, sebanyak 388 kes terdiri daripada rakyat negara ini dan 101 pesakit lagi warga asing.

"Daripada 4,046 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 32 kes atau 0.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,014 kes atau 99.2 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan seramai 149 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 71 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

KKM turut mengesan sebanyak 12 kluster jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster sebanyak 6,284 kluster, dengan 6,064 kluster sudah ditamatkan dan 220 kluster masih aktif.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga melaporkan sebanyak 2,804 kes yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 hari ini, menyumbang kepada sejumlah 2,750,261 kes kumulatif atau 97.4 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan dilaporkan di negara ini.

Semalam, sebanyak 3,764 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan yang mana daripada jumlah itu 3,242 daripada kes yang dilaporkan membabitkan penularan tempatan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 22 kes kematian akibat COVID-19 sehingga tengah malam tadi dengan lima daripadanya membabitkan kematian di luar kemudahan kesihatan (BID).

Berdasarkan laman sesawang github kendalian KKM, kes kematian itu direkodkan di sepuluh negeri dengan tertinggi direkodkan di Selangor, sebanyak tujuh kes, satu daripadanya membabitkan kes BID.

Ia diikuti Perak dengan tiga kes, masing-masing dua kes di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu, manakala satu kes direkodkan di empat negeri iaitu Sarawak, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Bagi kes BID, selain Selangor, empat negeri lain turut mencatatkan satu kes BID iaitu Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah. Enam negeri pula mencatatkan sifar kes kematian iaitu Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Selain itu, hingga tengah malam tadi, laman sesawang CovidNow menunjukkan pertambahan sebanyak 488 kes aktif. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif sebanyak 41,617.

CovidNow turut melaporkan perincian kadar penggunaan sistem kesihatan awam, termasuk bagi kes bukan COVID-19.

Bagi kapasiti katil hospital di seluruh negara, ketika ini ia telah digunakan sebanyak 62.2.0 peratus dengan 24.6 peratus menempatkan pesakit COVID-19.

Mengikut graf kadar harian pesakit COVID-19 yang ditempatkan di wad, ia mencatatkan sedikit pengurangan iaitu semalam seramai 750 orang berbanding 778 orang pesakit, kelmarin.

Selain itu, turut dilaporkan, 33.4 peratus pesakit yang dirawat di hospital termasuk bukan kes COVID-19, perlu menggunakan alat bantuan pernafasan. Angka harian setakat semalam, merekodkan seramai 72 orang pesakit menggunakan alatan berkenaan.

Bagi penggunaan unit rawatan rapi (ICU), secara keseluruhan, penggunaannya kini pada kadar 54.0 peratus dengan 18.4 peratus membabitkan pesakit COVID-19.

CovidNow turut melaporkan hanya 9.7 peratus pesakit COVID-19 kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) mengikut kes harian semalam di seluruh negara adalah 1.0. Tujuh negeri dengan kadar Rt sebagaimana nilai kebangsaan dan melebihi bacaan itu.

Kuala Lumpur mencatatkan Rt tertinggi dengan 1.13, diikuti Negeri Sembilan iaitu 1.06, Kedah (1.04), Johor (1.03), Melaka (1.02), Sabah (1.01) dan Selangor (1.00).

Sementara itu, negeri yang mencatatkan kadar Rt kurang daripada 1.00 adalah Pulau Pinang dengan 0.96, Kelantan (0.95), Putrajaya (0.92), Pahang (0.98), Perak (0.95) dan Terengganu (0.76).

Dalam pada itu, di tiga negeri, iaitu Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan cuma satu kes, Sarawak dengan 14 kes dan Perlis (11).

Berdasarkan graf kes harian COVID-19, trend nilai harian Rt mencatatkan sedikit peningkatan. Pada Isnin, Rt yang direkodkan adalah 0.98, ia kemudian meningkat kepada 0.99 (Selasa) dan 1.00 (Rabu).

Berita Harian X