Jumaat, 21 Januari 2022 | 1:21pm
22 kes kematian akibat COVID-19 sehingga tengah malam tadi dengan lima daripadanya membabitkan kematian di luar kemudahan kesihatan. - Foto hiasan NSTP
22 kes kematian akibat COVID-19 sehingga tengah malam tadi dengan lima daripadanya membabitkan kematian di luar kemudahan kesihatan. - Foto hiasan NSTP

22 kematian COVID-19 dilaporkan semalam

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 22 kes kematian akibat COVID-19 sehingga tengah malam tadi dengan lima daripadanya membabitkan kematian di luar kemudahan kesihatan (BID).

Berdasarkan laman sesawang github kendalian KKM, kes kematian itu direkodkan di sepuluh negeri dengan tertinggi direkodkan di Selangor iaitu sebanyak tujuh kes, satu daripadanya membabitkan kes BID.

Ia diikuti Perak dengan tiga kes, masing-masing dua kes di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu, manakala satu kes direkodkan di empat negeri iaitu Sarawak, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Bagi kes BID, selain Selangor, empat negeri lain turut mencatatkan satu kes BID iaitu Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah.

Enam negeri pula mencatatkan sifar kes kematian iaitu Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, sehingga tengah malam tadi, laman sesawang CovidNow menunjukkan pertambahan sebanyak 488 kes aktif.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif sebanyak 41,617.

CovidNow turut melaporkan perincian kadar penggunaan sistem kesihatan awam, termasuk bagi kes bukan COVID-19.

Bagi kapasiti katil hospital di seluruh negara, ketika ini ia telah digunakan sebanyak 62.2.0 peratus dengan 24.6 peratus menempatkan pesakit COVID-19.

Mengikut graf kadar harian pesakit COVID-19 yang ditempatkan di wad, ia mencatatkan sedikit pengurangan iaitu semalam, seramai 750 orang berbanding 778 orang pesakit, kelmarin.

Selain itu, turut dilaporkan, 33.4 peratus pesakit yang dirawat di hospital termasuk bukan kes COVID-19, perlu menggunakan alat bantuan pernafasan. Angka harian setakat semalam, merekodkan seramai 72 orang pesakit menggunakan alatan berkenaan.

Bagi penggunaan unit rawatan rapi (ICU), secara keseluruhan, penggunaannya kini pada kadar 54.0 peratus dengan 18.4 peratus membabitkan pesakit COVID-19.

CovidNow turut melaporkan, hanya 9.7peratus pesakit COVID-19 kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) mengikut kes harian semalam di seluruh negara adalah 1.0.

Beliau yang berkongsi maklumat itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, berkata terdapat tujuh negeri dengan kadar Rt sebagaimana nilai kebangsaan dan melebihi bacaan itu.

Kuala Lumpur mencatatkan Rt tertinggi dengan 1.13, diikuti Negeri Sembilan iaitu 1.06, Kedah (1.04), Johor (1.03), Melaka (1.02), Sabah (1.01) dan Selangor (1.00).

Sementara itu, negeri yang mencatatkan kadar Rt kurang daripada 1.00 adalah Pulau Pinang dengan 0.96, Kelantan (0.95), Putrajaya (0.92), Pahang (0.98), Perak (0.95) dan Terengganu (0.76).

Dalam pada itu, di tiga negeri, iaitu Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan cuma satu kes, Sarawak dengan 14 kes dan Perlis (11).

Berdasarkan graf kes harian COVID-19,trend nilai harian Rt mencatatkan sedikit peningkatan.Pada Isnin, Rt yang direkodkan adalah 0.98, ia kemudian meningkat kepada 0.99 (Selasa) dan 1.00 (Rabu).

Untuk rekod, sebanyak 3,764 kes COVID-19 dilaporkan semalam, ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara meningkat kepada 2,820,927 kes.

Berita Harian X