Jumaat, 21 Januari 2022 | 11:59am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Syor sistem perlindungan isi rumah menyeluruh

PUTRAJAYA: Negara perlu mewujudkan satu sistem perlindungan isi rumah menyeluruh bagi memastikan setiap individu akan memperoleh pendapatan minimum di atas garis kemiskinan.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata kerajaan juga perlu mengubah perspektif dalam menangani isu lebih 800,000 penjawat awam yang berada dalam kelompok penerima gaji lebih rendah daripada Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Beliau berkata, ia berikutan tidak logik untuk kerajaan membayar gaji kakitangannya bawah dari paras kemiskinan sedangkan pada masa sama ia menjalankan aktiviti serius untuk membasmi kemiskinan di negara ini.

"Jika gaji kakitangan awam sendiri berada bawah PGK, memang kita akan wujudkan orang miskin. Ia menjadikan matlamat untuk membasmi kemiskikan satu ejekan," katanya kepada BH.

Barjoyai berkata, kerajaan dan pemegang taruh perlu memikirkan apa penyelesaian serta merta yang boleh diambil bagi membantu kelompok berpendapatan kurang daripada PGK.

Katanya, dengan gaji pada paras bawah RM2,208 mengikut PGK dan membabitkan jumlah yang ramai pastinya memerlukan bantuan tambahan setiap bulan jika kerajaan cuba menghapuskan kemiskinan di negara ini.

Beliau berkata, ia boleh datang dalam pelbagai bentuk, antaranya apa yang kini dilaksanakan di negara maju iaitu dengan memberi jaminan sosial (sociosecurity) yang membolehkan mana-mana penjawat awam yang bergaji kurang daripada tahap minimum mereka mendapat insentif berkenaan serta merta.

"Kita perlu mempunyai skim sedemikian tetapi selama ini ia diabaikan kerana sama ada kita berfikir negara masih belum sampai ke tahap negara maju atau memikirkan negara ini berasaskan sistem pasaran bebas iaitu setiap isi rumah bertanggungjawab sendiri untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Perkara ini perlu diperbetulkan dengan mewujudkan sistem perlindungan isu rumah yang menyeluruh. Ia memerlukan satu keazaman dan langkah yang besar untuk melakukannya," katanya.

Bagi membantu lebih 800,000 penjawat awam yang menjadi penerima gaji bawah PGK mendapat upah melebihi paras minimum berkenaan, Barjoyai berkata, kerajaan perlu melihat beberapa skim tertentu sebagai antara skim bantuan sosial yang membantu mereka keluar daripada kelompok kemiskinan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan dilihat perlu berani mengubah sistem penggajian sedia ada bukan saja sektor penggajian tetapi juga sektor faedah semisosial (semisocial benefit) iaitu menggajikan penjawat awam bukan kerana memerlukan perkhidmatan pekerja terbabit tetapi kerana terpaksa memberi pendapatan kepada pekerja berkenaan.

Katanya, sektor awam tidak sepatutnya wujud untuk memberi gaji kepada pekerja atau kakitangan kerana mereka memerlukan pendapatan, sebaliknya lebih kepada keperluan berasaskan produktiviti.

Beliau berkata, produktiviti dalam sektor awam sebenarnya adalah tinggi, namun ada sesetengah kumpulan pekerja yang tidak dibayar gaji sepatutnya, selaras dengan produktiviti masing-masing termasuk yang dibayar gaji tinggi yang tidak setimpal dengan hasil kerja atau sumbangan mereka.

"Jika kita lihat, perlu ada perubahan minda. Sebagai contoh, 30 tahun dahulu Pendaftar Syarikat adalah jabatan yang antara liabiliti terbesar kepada kerajaan kerana memerlukan peruntukan RM100 juta bagi mewujudkannya, yang berfungsi memantau perjalanan syarikat.

"Tetapi hari ini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), satu jabatan yang sama, memperoleh keuntungan hampir RM400 juta setahun kerana ia merombak dan membuat reformasi dalam operasinya.

"Ini yang kita perlukan. Tenaga Nasional Berhad (TNB) dahulu juga adalah sebuah jabatan kerajaan, tetapi kini ia membawa keuntungan lebih RM1 bilion, berubah daripada hanya membabitkan perbelanjaan kepada membabitkan keuntungan," katanya.

Berita Harian X