X
Khamis, 20 Januari 2022 | 8:56pm

Utamakan kerja pembaikan kerosakan akibat banjir

KUALA LUMPUR: Kementerian berkaitan sudah diarah untuk menyesuaikan peruntukan bagi 2022, dengan mengutamakan kerja pembaikan kerosakan akibat banjir.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sebagai contoh, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah memulakan kerja memperbaiki serta membina semula rumah yang rosak dengan menggunakan peruntukan sedia ada terlebih dahulu sehingga RM100 juta.

"Pada masa sama, Kementerian Kewangan juga turut mengadakan peruntukan tambahan dan kelonggaran tatacara perolehan mengikut keperluan.

"Setakat ini, kita sudah mengagihkan RM300 juta kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) untuk memenuhi segala operasi banjir, selain meluluskan perbelanjaan darurat iaitu AP55 bagi kementerian yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai spesifikasi banjir yang melayakkan ketua isi rumah yang terjejas mendapat Bantuan Wang Ihsan (BWI), Tengku Zafrul berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menentukan aspek berkenaan bagi penyaluran bantuan.

Selain itu, Tengku Zafrul memaklumkan, beliau akan berbincang dengan pihak bank berhubung perlanjutan moratorium pinjaman yang tamat bulan ini, terutama bagi mereka yang terkesan dengan banjir.

"Pada masa sama, Kementerian Kewangan sudah memberi input mengenai peruntukan yang diperlukan untuk jangka masa panjang kerana kita dapat lihat kos untuk ganti rugi sudah mencecah berbilion ringgit.

"Kita perlu lihat supaya setiap tahun, berbanding kita memperuntukkan untuk pembayaran ganti rugi, kita patut membina semula dari segi jangka masa panjang," katanya.

Berita Harian X