Khamis, 20 Januari 2022 | 7:14pm

Kes kesan sampingan serius vaksin rendah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 896 daripada 24,286 kes kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) adalah berkaitan dengan pemberian dos penggalak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 42 kes menunjukkan kesan sampingan serius manakala sebahagian besarnya menghadapi kesan sampingan minimum.

"Sehingga 15 Januari 2022, sejumlah 60.7 juta dos vaksin COVID-19 telahpun diberikan, di mana 9.2 juta dos adalah dos penggalak.

"Kalau kita lihat jumlah yang dilaporkan ialah 0.4 untuk setiap 1,000 dos yang telah diberikan. Dos penggalak ialah 0.1 bagi 1,000 dos yang telah diberikan dan AEFI yang membabitkan kes sampingan yang teruk ialah 0.05 untuk 1,000 dos yang telah diberikan.

"Dan juga laporan miokarditis, kita telahpun maklum iaitu dalam kalangan kanak-kanak ialah satu hingga tiga kes untuk setiap 100,000 yang mendapat kesan miokarditis," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini hari ini.

Sekiranya tidak divaksinasi, Dr Noor Hisham berkata individu terbabit terdedah dengan risiko 36 kali lebih tinggi jika dijangkiti COVID-19.

Menyentuh perkembangan kejadian AEFI membabitkan banduan di Penjara Kajang, Dr Noor Hisham berkata pihaknya sudah pun selesai menjalankan siasatan terhadap 13 daripada 18 orang di fasiliti itu.

Beliau berkata pihaknya mendapati 10 kes AEFI tiada kaitan dengan vaksinasi.

"Tetapi kemungkinan tiga kes barangkali ada kesan sampingan vaskinasi. Lima kes lagi masih dalam siasatan termasuk dua kes kematian.

"Jadi siasatan masih dijalankan dan kita harap akan dapatkan laporan penuh dalam sedikit masa lagi," jelasnya.

Berita Harian X