Khamis, 20 Januari 2022 | 5:32pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Setengah juta kes COVID-19 remaja, kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 579,624 kes jangkitan COVID-19 membabitkan populasi remaja dan kanak-kanak berumur kurang daripada 18 tahun, bagi tempoh 25 Januari lalu hingga semalam.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 269,773 kes membabitkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Kebiasaannya, beliau berkata kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 ada sebilangan yang mengalami gejala teruk serta memerlukan rawatan di hospital termasuk di unit rawatan rapi.

"Sejak bermulanya pandemik COVID-19, KKM telah memantau status jangkitan COVID-19 terutama di dalam populasi remaja dan kanak-kanak.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah direkodkan akibat daripada jangkitan COVID-19 dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Mutakhir ini, beliau berkata terdapat peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak terutamanya setelah pembukaan sekolah pada awal tahun ini.

Selain itu, katanya varian baharu COVID-19, Omicron didapati lebih mudah merebak dan berpotensi tinggi bukan sahaja menjangkiti orang dewasa malah kanak-kanak.

Berdasarkan data diperolehi dari negara-negara terkesan Omicron, jelasnya disebabkan varian itu juga berlaku peningkatan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak.

"Selain daripada risiko penyakit Long-COVID, kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 juga berisiko tinggi untuk mendapat kesan serius yang dikenali sebagai Multi-System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).

"Kejadian MIS-saC ini boleh berlaku satu dalam 3200 kanak-kanak yang dijangkiti oleh COVID-19.

"Kanak-kanak tersebut boleh mengalami gejala yang sangat teruk seperti demam yang berlarutan, tekanan darah rendah, sawan serta keradangan pelbagai organ termasuk jantung (miokarditis), paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata, saluran usus dan lain-lain," katanya.

Berita Harian X