Khamis, 20 Januari 2022 | 5:24pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Beri COLA atasi penjawat awam gaji bawah paras kemiskinan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertimbangkan peningkatan elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) secara bersasar bagi membantu 800,000 penjawat awam di negara ini yang tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara.

Pakar Kewangan Peribadi, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata peningkatan COLA dilihat lebih sesuai pada masa ini terutamanya ketika kerajaan sendiri berdepan pelbagai perbelanjaan bagi membantu rakyat disebabkan COVID-19 dan banjir besar di beberapa negeri, baru-baru ini.

Menurut Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, peningkatan COLA yang berbentuk elaun, boleh ditarik semula (withdrawn) oleh kerajaan apabila keadaan ekonomi negara kembali stabil dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Langkah ini disifatkannya sebagai menang-menang terutamanya bagi memastikan kerajaan dalam kekangan yang ada, dapat terus membantu penjawat awam dalam kategori B40 yang terjejas berikutan peningkatan kos sara hidup kini.

"Peningkatan COLA ini saya lihat lebih mudah dilaksanakan kerana ia berbentuk elaun dan kerajaan boleh tarik balik kepada asal apabila keadaan ekonomi sudah stabil berbanding dengan peningkatan gaji yang akan kekal.

"Jabatan Perkhidmatan Awam atau Unit Perancangan Ekonomi (EPU) boleh melaksanakan kajian untuk melihat berapa ramai penjawat awam dalam kalangan B40 yang perlu menerima peningkatan COLA secara bersasar.

"Meskipun kerajaan perlu membantu rakyat yang terkesan dalam keadaan sukar ini tetapi dalam masa sama kekangan yang dihadapi kerajaan tidak boleh dinafikan," katanya kepada BH.

CUEPACS semalam memaklumkan lebih 800,000 penjawat awam di negara ini tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) berikutan sistem penggajian dan saraan yang ada tidak dikaji dan distruktur semula sejak 2002.

Daripada 1.62 juta penjawat awam, lebih 800,000 daripadanya terdiri daripada golongan B40 iaitu mereka dengan gred 19 ke bawah terutamanya gred 11 yang jika terlantik, gaji permulaan diterima hanyalah RM1,208.

Mohamad Fazli berkata, kesan kenaikan kos sara hidup yang diburukkan dengan pandemik COVID-19, akan memberi kesan kepada mutu kehidupan penjawat awam terutamanya mereka yang tinggal di bandar besar.

Katanya, tekanan disebabkan peningkatan kos sara hidup serta hutang yang terpaksa ditanggung, tidak mustahil akan memberi kesan kepada produktiviti di tempat kerja serta masa berkualiti bersama keluarga.

"Ada kebarangkalian pendapatan daripada pekerjaan sedia ada tidak mencukupi dan menyebabkan mereka melakukan pelbagai pekerjaan lain selepas waktu pejabat.

"Ini bukan saja akan menjejaskan masa berkualiti yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga malah menyebabkan kesihatan mereka terkesan," katanya

Berita Harian X