Khamis, 20 Januari 2022 | 12:27pm

Nilai pengeluaran sektor ekonomi susut RM4-RM8 bilion

KUALA LUMPUR: Bencana banjir yang melanda negara pada Disember tahun lalu akan menyebabkan pengurangan nilai pengeluaran sektor ekonomi yang dianggarkan berjumlah antara RM4 bilion hingga 8 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz bagaimanapun berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kekal antara tiga hingga empat peratus, mengambil kira indikator utama yang menunjukkan tanda pemulihan memberangsangkan bagi keseluruhan 2021.

 Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

"Apa yang lebih utama, momentum pemulihan itu dijangka berterusan sepanjang tahun ini iaitu ekonomi kita dijangka terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus, sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang masing-masing menyasarkan pertumbuhan enam dan 5.8 peratus untuk Malaysia.

"Pemacu utama pertumbuhan Malaysia termasuk pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial susulan peralihan seluruh negara ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir itu membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir, pascabanjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia serta perancangan jangka panjang bagi pengurusan bencana itu.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah pakej bantuan yang komprehensif, berkesan dan menyeluruh, yang tidak pernah dilaksanakan sebelumnya.

"Kerajaan ini amat komited dalam melaksanakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada mangsa banjir, namun mengambil kira pelaksanaan pelbagai bantuan, selain keperluan pembaikan rumah dan fasiliti awam, nilai keseluruhan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dijangka mencecah RM2 bilion," katanya.

Tengku Zafrul memaklumkan, setakat ini, Kementerian Kewangan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Banjir Negara (KWABBN).

"Sebelum ini, bantuan banjir yang diberikan lazimnya tertumpu kepada pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI), selain kerja pembersihan dan pembaikan rumah serta infrastruktur awam.

"Pada kali ini, selain menambah baik kadar dan skop BWI bagi MTL 2021/2022, kerajaan turut membantu mangsa banjir, antaranya melalui pemberian baucar diskaun pembelian barangan elektrik, diskaun membaiki kenderaan, bantuan pembelian barangan keperluan asas serta bantuan pembaikan kecil rumah," katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul memberi jaminan, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan ketahanan negara daripada ancaman bencana melalui sudut yang lebih holistik iaitu lebih kepada pencegahan dan bukan pemulihan.

Tumpuan akan diberikan untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang ke arah mengurangkan kesan serta kemusnahan ditanggung akibat banjir atau apa-apa bencana.

"Selain itu, kita juga harus mengakui antara punca lain yang menyebabkan bencana alam adalah kerana fenomena perubahan iklim dan pembangunan yang tidak lestari.

"Justeru, dalam Bajet 2022, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM450 juta untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, serta inisiatif lain berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Bencana banjir yang melanda negara pada Disember tahun lalu akan menyebabkan pengurangan nilai pengeluaran sektor ekonomi yang dianggarkan berjumlah antara RM4 dan 8 bilion. - Foto hiasan NSTP
Bencana banjir yang melanda negara pada Disember tahun lalu akan menyebabkan pengurangan nilai pengeluaran sektor ekonomi yang dianggarkan berjumlah antara RM4 dan 8 bilion. - Foto hiasan NSTP
Berita Harian X