Khamis, 20 Januari 2022 | 12:01pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Gantung tugas Azam Baki antara tuntutan 23 organisasi

KUALA LUMPUR: Gabungan 23 organisasi mengemukakan Memorandum Rakyat Desak Selamatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengandungi lapan tuntutan termasuk menggantung serta-merta tugas Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.

Memorandum didakwa bertujuan menyelamatkan SPRM serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap usaha melawan rasuah itu dihantar kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Mereka turut menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjalankan siasatan menyeluruh serta membuat saranan tindakan undang-undang terhadap Azam termasuk memanggil semua saksi dan meneliti semua dokumen berkaitan.

Menurut kumpulan berkenaan, Akta SPRM 2009 juga perlu dipinda bagi memperkasa integriti, ketelusan serta proses semak dan imbang yang adil.

"Meletakkan SPRM serta suruhanjaya yang lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di bawah bidang kuasa Parlimen termasuk lantikan Ketua Pesuruhjaya.

"Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen perlu dijalankan secara terbuka kepada awam dan keterlibatan secara langsung pihak media," menurut memorandum itu.

Antara organisasi yang bersama dalam memorandum berkenaan ialah Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda AMANAH Nasional, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pertubuhan Kebajikan Dan Pembangunan Masyarakat Sabah, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Mahasiswa Roket dan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Turut dituntut mereka ialah mewajibkan lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya mengisytiharkan harta kepada masyarakat sebelum pengesahan lantikan.

Mereka juga mendesak supaya kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Hidup Melampaui Kemampuan iaitu mana-mana individu perlu membuktikan kekayaan yang diperoleh sebagai langkah mengekang sebarang salah laku.

"Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) 2010 bagi menjamin perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat," kata mereka.

Menurut kumpulan berkenaan, lapan tuntutan itu perlu segera dilaksanakan bagi memulihkan integriti negara.

Katanya, tuntutan itu juga adalah untuk memastikan SPRM menjadi sebuah institusi yang bebas dan bersih, serta efektif dalam memainkan peranan sebagai institusi terutama untuk membanteras rasuah di negara ini.

"Isu ini sememangnya telah mencalarkan imej dan reputasi SPRM sekaligus menghakis keyakinan rakyat jika Azam sebagai orang nombor satu institusi terpalit dengan skandal penyelewengan dan salah laku.

"Pada masa yang sama, kredibiliti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) turut dipersoal berikutan kenyataan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang dilihat cuba membersihkan nama Azam tanpa mengikut prosedur yang betul," katanya.

Azam sebelum ini terpalit dengan isu pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat namun siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak dapat membuktikan pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Berita Harian X