Khamis, 20 Januari 2022 | 11:27am
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kanan) menyampaikan bantuan banjir kepada sebahagian mangsa banjir di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan pada 15 Januari lalu. - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kanan) menyampaikan bantuan banjir kepada sebahagian mangsa banjir di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan pada 15 Januari lalu. - Foto fail NSTP

RM125.5 juta BWI sudah diagih setakat semalam

KUALA LUMPUR: Lebih RM125.5 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang berjumlah RM1,000 kepada setiap penerima sudah disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada negeri yang terjejas banjir bagi tujuan pengagihan kepada ketua keluarga isi rumah yang terbabit bencana itu, hingga semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah sebahagian daripada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk mangsa banjir berjumlah RM1.4 bilion yang diumumkan beliau pada 29 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, hingga kelmarin, prestasi pengagihan bagi mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah sebanyak 97.3 peratus daripada bilangan ketua isi rumah yang layak bagi gelombang pertama banjir di lapan negeri yang terjejas.

"Prestasi pengagihan bagi gelombang kedua adalah sebanyak 57.3 peratus meliputi Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Lebih RM125.5 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang berjumlah RM1,000 kepada setiap penerima sudah disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bencana kepada negeri yang terjejas banjir bagi tujuan pengagihan kepada ketua keluarga isi rumah yang terbabit bencana itu, hingga semalam. - Foto fail NSTP
Lebih RM125.5 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang berjumlah RM1,000 kepada setiap penerima sudah disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bencana kepada negeri yang terjejas banjir bagi tujuan pengagihan kepada ketua keluarga isi rumah yang terbabit bencana itu, hingga semalam. - Foto fail NSTP

Perdana Menteri berkata, bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS, prestasi pengagihan BWI hingga semalam adalah sebanyak 50.8 peratus.

Selain itu, di bawah Bantuan Pembelian Keperluan Asas (BPKA), Perdana Menteri memaklumkan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan RM25 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menggunakan tabung KWABBN bagi pengagihan bantuan kepada KIR yang layak sejak 8 Januari lalu dan peruntukan tambahan diberikan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan semasa.

Melalui Bantuan Membina dan Membaik Pulih Rumah, bantuan pembaikan berjumlah RM5,000 disalurkan bagi Kategori Satu, RM5,000 ke RM15,000 bagi Kategori Dua dan RM56,000 bagi Kategori Tiga bagi pembinaan rumah baharu akibat kemusnahan keseluruhan.

"Bantuan berjumlah RM500 bagi setiap KIR yang layak diberikan melalui Baucar Diskaun Pembelian Alat Elektrik dan Rebat Bil Elektrik bagi Disember 2021 serta sumbangan RM139.2 juta bagi membantu menyediakan keperluan asas melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN).

"Selain itu, melalui Pinjaman Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) Untuk Isi Rumah, pinjaman tanpa faedah diberikan hingga RM10,000 dengan enam bulan moratorium dan bayaran balik dalam tempoh tiga tahun, manakala melalui pinjaman TEKUN Nasional untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pinjaman maksimum RM100,000 diberikan, dengan tanpa faedah bagi perusahaan mikro sehingga RM10,000," katanya.

Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan Kemudahan Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS dengan nilai maksimum RM500,000 selain Moratorium Pinjaman Mangsa Banjir sehingga enam bulan bagi pinjaman sedia ada.

"Bantuan RM1.4 bilion ini adalah bantuan secara terus oleh kerajaan kepada mangsa banjir, selain kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi pembaikan infrastruktur, kerosakan dan sebagainya yang jauh melebihi nilai itu.

"Kerajaan sedang membuat penilaian bagi semua kerja yang dimaksudkan ini," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejak Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 bermula, sebanyak 38,113 keluarga dipindahkan ke 1,112 PPS, membabitkan 136,030 mangsa.

Beliau berkata, walaupun MTL 2021/2022 masih belum tamat dan dijangka berakhir Mac ini, semua PPS di seluruh negara sudah ditutup sepenuhnya ketika ini, namun sentiasa bersedia jika perlu dibuka semula.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melaporkan 55 kes kematian akibat banjir luar biasa ini, membabitkan 40 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Seramai dua mangsa dilaporkan masih hilang.

"Saya ingin merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan rasa simpati yang amat mendalam terhadap mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana ini, yang turut mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan kediaman serta harta benda," katanya.

Berita Harian X