Khamis, 20 Januari 2022 | 11:04am
Dwi Priyanti Zulkifli (kanan) dan adiknya, Noor Azlina (tengah) menunjukkan pasport dan dokumen berkaitan berhubung permohonan mereka mendapatkan MyKad
Dwi Priyanti Zulkifli (kanan) dan adiknya, Noor Azlina (tengah) menunjukkan pasport dan dokumen berkaitan berhubung permohonan mereka mendapatkan MyKad

Dua beradik yatim piatu harap dapat MyKad

ALOR SETAR: Dua beradik yatim piatu dari sini, mengharapkan permohonan mereka mendapatkan Mykad diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan mereka menyambung pengajian masing-masing.

Dwi Priyanti Zulkifli, 18, bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, manakala adiknya, Noor Azlina Zulkifli, 17, pula sedang belajar di sebuah sekolah dekat Kodiang, Kubang Pasu.

Dua beradik itu dilahirkan di Batam, Indonesia memandangkan ibu kandung mereka berasal dari negara terbabit, manakala bapa mereka, Zulkifli Sharif, warganegara yang berasal dari negeri ini.

Berikutan itu, kedua-dua beradik ini didaftar kelahiran di negara itu manakala adik bongsu mereka, Noor Ashikin Zulkifli, 11, pula mendapat status warganegara kerana bapa mereka mendaftar kelahirannya di Johor.

Keadaan lebih sukar apabila ibu mereka, Eva Wati, meninggal dunia pada tahun 2012 dan sejak itu, arwah bapa mereka membawa tiga beradik itu ke Johor kerana dia bekerja dengan sebuah syarikat minyak swasta di sana.

Bagaimanapun, bapa mereka kemudian meninggal dunia pada tahun 2015 akibat pendarahan, menyebabkan keluarga bapa saudara mereka, Roslan Sharif, 38, mengambil penjagaan ketiga-tiga beradik itu untuk menetap bersamanya.

Roslan berkata, beliau kemudiannya membuat permohonan mengambil ketiga-tiga beradik itu sebagai anak angkat selepas dua tahun menetap bersamanya.

Katanya, selain itu, dia turut membuat permohonan untuk mendapatkan taraf kerakyatan untuk Dwi Priyanti dan Noor Azlina, namun gagal malah permohonannya ditolak.

"Disebabkan itu, saya terpaksa memperbaharui visa pelajar RM240 seorang setiap tahun untuk memudahkan mereka meneruskan persekolahan kerana mereka hanya mempunyai pasport antarabangsa untuk identiti pengenalan diri.

"Mereka juga tidak mendapat kemudahan hospital untuk warganegara dan saya tidak galakkan mereka keluar bersendirian kerana tidak mempunyai Mykad," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman PKNK, Jalan Tun Razak, di sini hari ini.

Roslan berkata, dia bimbangkan masa depan dua beradik itu memandangkan mereka semakin membesar kerana Dwi Priyanti sudah mencapai usia 18 tahun dan berhasrat untuk menyambung pengajiannya tetapi disebabkan tiada dokumen, mungkin impiannya itu semakin sukar.

Katanya, dia sudah pun membuat proses permohonan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun tidak dapat membantu mereka setakat ini.

"Saya berharap perkara ini diselesaikan segera kerana bapa kedua-dua anak saudara saya ini adalah abang kandung saya yang juga warga tempatan.

"Kerumitan ini adalah disebabkan mereka lahir di Indonesia dan daftar kelahiran mereka dibuat di sana, namun saya harap permohonan saya dapat dipertimbangkan semula kerana kami tak tahu asal usul keluarga ibu kandung mereka di negara itu," katanya.

Berita Harian X