Khamis, 20 Januari 2022 | 7:32am
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan dua mesin hemodialisis kepada Pakar Nefrologi Jabatan Nefrologi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Dr Mohd Kamil Ahmad. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan dua mesin hemodialisis kepada Pakar Nefrologi Jabatan Nefrologi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Dr Mohd Kamil Ahmad. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MUIP sumbang alatan perubatan RM238,560 kepada HTAA

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang peralatan perubatan termasuk dua mesin hemodialisis bernilai lebih RM238,560 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.

Bantuan lain turut diberikan termasuk Sistem Transurethral Resection (TUR), Defibrillator, Portable X-Ray dan Electrocautery.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata setiap tahun MUIP menyediakan peruntukan khas bagi membantu hospital dan klinik kesihatan di Pahang.

Beliau berkata pihak berkenaan bertanggungjawab menyediakan kertas cadangan permohonan peralatan yang diperlukan.

"Kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, justeru setiap cadangan yang dikemukakan akan dinilai sebelum disediakan," katanya pada Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan dan Ziarah Prihatin MUIP di HTAA, semalam.

Yang turut hadir, Pakar Nefrologi Jabatan Nefrologi HTAA, Dr Mohd Kamil Ahmad.

Sempena program berkenaan MUIP turut menyampaikan hamper dan wang tunai bernilai RM94,000 kepada 400 pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Asmadi berkata, tahun lalu MUIP memberi bantuan peralatan perubatan bernilai RM973,152 kepada hospital dan klinik kesihatan di negeri ini sebagai usaha meringankan beban pusat kesihatan terbabit yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Bantuan peralatan perubatan yang diberikan adalah hasil kutipan zakat di negeri ini, justeru lebih banyak wang diterima lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada mereka yang layak.

"MUIP sentiasa berusaha membantu golongan asnaf termasuk mangsa bencana seperti banjir, ribut dan kebakaran termasuk golongan terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Berita Harian X