Rabu, 19 Januari 2022 | 7:26pm
Mohd Uzir (kanan) melakukan tinjauan pendapatan isi rumah terhadap seorang responden penduduk Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, hari ini. Foto/NSTP Aizat Sharif
Mohd Uzir (kanan) melakukan tinjauan pendapatan isi rumah terhadap seorang responden penduduk Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, hari ini. Foto/NSTP Aizat Sharif

10 peratus pendapatan diguna untuk percutian, rekreasi

KANGAR: Masyarakat di Malaysia kini didapati akan membelanjakan kira-kira 10 peratus daripada pendapatan bulanan mereka untuk aktiviti percutian dan rekreasi.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), aktiviti percutian dan rekreasi kini menjadi antara keperluan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata masyarakat di negara ini tanpa mengira pendapatan tinggi atau rendah akan menjadikan aktiviti percutian dan rekreasi sebagai satu kemestian yang perlu dipenuhi dalam kehidupan mereka.

"Itu sebab permintaan kepada sektor pelancongan kini semakin berkembang dan menyeluruh. Pasti akan ada lokasi pelancongan tertentu untuk dikunjungi tanpa mengira pendapatan masyarakat di negara ini.

"Secara metaforanya, jika seseorang itu mahukan minuman teh tarik berharga RM5, sudah tersedia ada tempat yang menyediakan minuman berkenaan dengan harga itu dan begitu juga jika seseorang itu mahukan teh tarik yang sama berharga RM1 juga sudah ada tempatnya.

"Jika kita lihat, 10 peratus daripada pendapatan seseorang itu akan dibelanjakan kepada aktiviti percutian dan rekreasi dan ini memberi erti bahawa percutian itu bermaksud seseorang itu keluar dari kawasan tempat tinggal masing-masing dan tidak kiralah jika tujuannya untuk bertemu sanak saudara atau membeli belah, maka itu didefinisikan sebagai aktiviti percutian dan rekreasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses Survei Pendapatan, Perbelanjaan isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES) 2022, di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam tinjauan proses berkenaan, Pengarah DOSM Perlis, A Pathmavathi.

Mohd Uzir berkata, perkembangan itu menunjukkan setiap keperluan pasti akan ada permintaan dan penawarannya.

"Setiap permintaan terhadap aktiviti ini akan ditawarkan mengikut keperluan yang dimahukan, sebagai contoh percutian kepada golongan pendapatan tinggi, ada tak pihak yang menawarkannya dan begitu juga kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Kita perlu menggerakkan kehidupan ini daripada satu titik keseimbangan kepada satu titik keseimbangan yang baru, namun ada masalah yang timbul apabila titik keseimbangan itu menjadi sama sahaja dan tiada perubahan setiap tahun," katanya.

Sementara itu, daripada 92,500 kediaman di seluruh negara yang dipilih untuk menjalani proses survei atau tinjauan rawak, sebanyak 1,640 kediaman terletak di Perlis, di mana proses itu bermula bulan ini hingga akhir tahun ini.

Pemilihan kediaman itu dilakukan di setiap kawasan mewakili pendapatan tinggi, sederhana dan rendah dengan proses tinjauan dijalankan dua kali dalam tempoh lima tahun, di mana kali terakhir adalah pada 2019.

Berita Harian X