Rabu, 19 Januari 2022 | 4:15pm
Sijil palsu vaksin boleh mencetus kesan domino. Foto fail NSTP
Sijil palsu vaksin boleh mencetus kesan domino. Foto fail NSTP

Sijil palsu vaksin cetus kesan domino

KUALA LUMPUR: Kegiatan pemalsuan sijil vaksin dikhuatiri mencetuskan kesan domino terhadap aspek kawalan wabak, khususnya membabitkan golongan rentan dan komorbiditi.

Tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi etika perubatan itu juga berupaya menghakis kepercayaan masyarakat terhadap keberkesanan vaksin serta mengundang kekeliruan dalam laporan data semasa.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata individu yang membeli sijil vaksin palsu lazimnya beranggapan mereka dilindungi suntikan pelalian seperti orang lain.

Katanya, pergerakan kelompok sedemikian bebas dan menikmati semua manfaat vaksin diperuntukkan kerajaan, tanpa menyedari bahawa mereka membawa potensi untuk menyebarkan jangkitan pada kadar lebih teruk terhadap golongan rentan dan yang mempunyai komorbiditi.

"Justeru, pengamal perubatan yang mendalangi kegiatan tidak bertanggungjawab seperti ini harus dikenakan tindakan paling tegas, termasuk membatalkan lesen pengamal perubatan mereka.

"Hal ini kerana pemalsuan sijil vaksin bukan sekadar menjejaskan segelintir individu iaitu mereka yang membeli atau melanggan perkhidmatan ini, tetapi kepada masyarakat umum.

"Sudah pasti aspek kawalan wabak akan terjejas kerana data menunjukkan mereka dilengkapi perlindungan suntikan imunisasi COVID-19, namun ia sebenarnya palsu.

"Maka, data mengenai 'breakthrough infection' (jangkitan meskipun menerima vaksin) adalah meleset angkara kelompok tidak bertanggungjawab ini," katanya kepada BH, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, kelmarin dilaporkan berkata pihaknya mengesan sebuah klinik swasta di Gombak, disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan pelalian.

Dalam serbuan di klinik swasta itu pada Jumaat lalu, tujuh individu termasuk pemilik klinik berkenaan ditahan, yang masing-masing berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita membabitkan pemilik, pekerja dan 'runner' klinik swasta berkenaan.

Media pada 8 Januari lalu membongkar kegiatan seorang doktor antivaksin yang menjual sijil vaksin palsu di Marang, Terengganu sehingga membawa kepada penahanan seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun itu menerusi serbuan serbuan di sebuah rumah di Kampung Mengabang Tengah di Kuala Terengganu.

Pada 11 Januari lalu pula, sepasang suami isteri yang juga penjawat awam di Alor Gajah ditahan kerana memiliki sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dalam aplikasi MySejahtera.

Turut ditahan seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja di jabatan sama, dipercayai orang tengah untuk pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu memperoleh sijil palsu bagi dua dos vaksin.

Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, pula berkata jangkitan COVID-19 dalam kalangan penerima sijil pelalian palsu mampu meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap keberkesanan vaksin.

"Mereka akan persoalkan kenapa individu yang lengkap suntikan vaksin masih dijangkiti dan mengalami kesan kesihatan pada kadar lebih teruk, iaitu kategori tiga ke atas.

"Sedangkan, tanpa mereka sedari, individu berkenaan berkemungkinan antara pembeli sijil vaksin palsu, malah ia akan menyukarkan pengurusan pesakit di hospital.

"Data semasa mengenai jangkitan dalam kalangan penerima vaksin juga akan bercampur, sekali gus memberi gambaran salah untuk tujuan analisis jangka panjang.

"Justeru, kegiatan sijil vaksin palsu ini bukan sekadar merosakkan sistem pengurusan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), tetapi memberi kesan kepada kepercayaan orang ramai terhadap pelbagai usaha kerajaan dan keberkesanan vaksin," katanya.

Berita Harian X