Rabu, 19 Januari 2022 | 1:40pm
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Sabah sedia RM35 juta laksana inisiatif pembangunan pendidikan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM35 juta tahun ini untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan pendidikan yang merangkumi tiga program bantuan, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata tiga program bantuan berkenaan adalah Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) 2022, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memartabatkan taraf pendidikan negeri.

"Selepas mengambil alih tampuk pemerintahan, kerajaan meletakkan portfolio pendidikan di bawah bidang kuasa Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas supaya perhatian khusus dapat diberikan kepada hal ehwal pendidikan Sabah.

"Ini tidak bermakna kerajaan negeri mengambil alih peranan dan tanggungjawab kerajaan Persekutuan di Sabah, sebaliknya inisiatif itu adalah untuk melengkapkan program yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan di Sabah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Bantuan Bakti dan Pelancaran BAGUS, BISBAH dan AKSA 2022, di Menara Kinabalu dan teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, yang juga Menteri Kewangan Sabah II.

Hajiji berkata kerajaan negeri serius dalam memastikan kanak-kanak di Sabah mendapat bantuan sebaik mungkin dan mencapai kecemerlangan akademik.

"Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk program BAGUS yang menyaksikan setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 1,500 sekolah menerima RM2,000 untuk menjalankan aktiviti masing-masing tahun ini.

"Di bawah inisiatif BISBAH, RM12 juta diperuntukkan membantu 1,500 sekolah memperoleh komputer, mesin pencetak, peralatan bantuan mengajar, meja dan kerusi. Kerajaan negeri juga memberi pengiktirafan khas kepada pelajar cemerlang melalui AKSA," katanya.

Hajiji berkata tahun lalu kerajaan negeri meluluskan RM15 juta untuk pembelian komputer riba di bawah program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) bagi membantu 10,000 pelajar khususnya yang menduduki SPM, STPM dan STAM dalam pengajian dalam talian melalui pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) kerana sekolah ditutup disebabkan pandemik COVID-19.

"Kerajaan negeri juga membelanjakan sejumlah RM10 juta tahun lepas untuk membantu 5,000 pelajar membayar yuran pendaftaran di bawah Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI) dengan mereka yang mengikuti pengajian diploma mendapat RM1,500 dan RM2,000 bagi mereka yang mengikuti kursus ijazah," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X