X
Selasa, 18 Januari 2022 | 11:52pm
(Gambar fail) Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
(Gambar fail) Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Lebih RM1.4 bilion disalurkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Lebih RM1.4 bilion disalurkan menerusi pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, untuk mangsa banjir baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata lebih 56,000 ketua isi rumah yang terjejas dalam bencana itu, sudah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000, setakat ini.

Beliau berkata, ia adalah bantuan bencana paling pantas pernah dilaksanakan, iaitu hanya dalam tempoh seminggu, kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sentiasa menekankan bantuan perlu disalurkan secepat mungkin.

"Kebiasaannya, bantuan wang ihsan bernilai RM500 diberikan, tetapi kali ini ia dinaikkan kepada RM1,000. Bantuan lain pula adalah bantuan paling banyak yang belum pernah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

"Secara keseluruhan, setiap mangsa banjir yang terkesan menerima bantuan sekurang-kurang RM10,000 hingga RM61,000, dengan pelbagai pembiayaan tanpa faedah turut disediakan," katanya pada program Inklusif RTM, malam ini.

Beliau berkata, bantuan banjir ini akan dipastikan sampai kepada semua mangsa, berikutan sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk memantau dan membuat laporan terus kepada menteri berkaitan serta dibentangkan di Kabinet.

"Pasukan khas pengurusan bencana peringkat pusat ini turut dianggotai menteri. Mereka akan membincangkan segala isu penyelesaian dan model bersesuaian untuk jangka pendek, sederhana dan panjang, bagi menangani masalah banjir pada masa akan datang.

"Diakui selain fenomena perubahan iklim, pembangunan tidak lestari juga menjadi punca banjir.

"Justeru, kerajaan akan meningkatkan usaha bukan saja dari segi pemulihan, tetapi juga pencegahan secara holistik untuk memelihara kelestarian alam sekitar," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, menteri yang bertanggungjawab perlu turun padang untuk melihat keadaan sebenar rakyat.

"Kita perlu turun padang dengan niat yang betul kerana dari situ, kita akan dapat melihat dan merasai sendiri keadaan sebenar.

"Dari situ, kita dapat membantu serta merancang dasar lebih relevan yang tidak boleh digambarkan dalam satu laporan saja, berbanding hanya berada di pejabat dan menerima laporan daripada kakitangan.

"Oleh itu, turun padang ini sangat penting kerana dari situ baru kita akan faham," katanya.

Pada masa sama, beliau optimis bahawa 2022 akan menjadi tahun untuk pemulihan ekonomi yang lebih makmur dan mampan, selain sektor perniagaan menjadi lebih berdaya saing.

"Saya berharap sentimen positif mengenai ekonomi negara akan menjadi kenyataan dengan pelbagai indikator pertumbuhan yang digariskan," katanya.

Beliau turut memaklumkan, bilangan penganggur pada November 2021 menunjukkan trend menurun kepada 694,400 orang berbanding 705,000 pada Oktober 2021.

Berita Harian X