Selasa, 18 Januari 2022 | 6:30pm

Tragedi bot karam: 6 PATI maut, 7 terselamat

PONTIAN: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) maut, manakala seorang lagi kritikal dan enam terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata dalam kejadian itu, ombak dipercayai setinggi tiga meter (m) membadai bot fiber sepanjang 7.62 meter yang dinaiki 11 PATI wanita bersama dua tekong yang semuanya warga Indonesia.

Beliau berkata, ia menyebabkan bot itu terbalik dan karam kira-kira 4.2 batu nautika dari Pantai Pontian Besar.

"Lima PATI dan dua tekong lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun berjaya diselamatkan, manakala enam lagi ditemui lemas.

"Seorang daripada mangsa terselamat kini berada dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, untuk rawatan lanjut," katanya pada sidang media di Jeti Nelayan Pontian Besar, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, kejadian itu diketahui apabila nelayan tempatan menemui dua tekong dan empat PATI wanita terapung kira-kira jam 10 pagi tadi di perairan Pontian, sebelum menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Maritim Malaysia.

"Susulan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) dimulakan jam 10 pagi tadi. Ia membawa kepada penemuan seorang lagi wanita warga Indonesia yang berjaya diselamatkan pada jam 1 tengah hari bersama dua mayat rakannya, sebelum empat lagi mangsa terakhir yang lemas ditemui kira-kira jam 2 petang," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Hizam berkata, berdasarkan siasatan awal, dua tekong berkenaan mendakwa bot dinaiki mereka bersama 11 PATI terbabit bertolak dari Pulau Jaloh, Batam, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

"Mereka menaiki bot fiber berkelajuan enjin 200 kuasa kuda. Bot itu dipercayai mengambil masa dua jam setengah dari Pulau Jaloh sebelum tiba di Perairan Pontian, tengah malam tadi.

"Semua tujuh mangsa yang selamat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala enam mayat pula diserahkan kepada Hospital Pontian untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Mohammad Shofee berkata, dua tekong warga Indonesia itu akan ditahan reman, esok, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Katanya, hasil siasatan awal mendapati dua tekong berkenaan mahu menurunkan semua PATI dibawa itu di kawasan Api-Api, kira-kira empat batu nautika dari lokasi bot terbabit karam.

"Polis akan menyiasat secara terperinci mengenai dalang sindiket penyeludupan manusia ini, termasuk bayaran dikenakan ke atas mangsa bagi memasuki Malaysia menerusi Perairan Pontian," katanya.

Nurul Hizam bersama Mohammad Shofee pada sidang media di Jeti Nelayan Pontian Besar, hari ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Nurul Hizam bersama Mohammad Shofee pada sidang media di Jeti Nelayan Pontian Besar, hari ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X