Selasa, 18 Januari 2022 | 5:38pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Ancaman hidupan liar tuntut kerjasama banyak pihak

KUALA LUMPUR: Penerokaan hutan untuk pembalakan dan perladangan boleh menyebabkan hidupan liar seperti harimau keluar dari habitat, seterusnya mengancam keselamatan penduduk.

Pensyarah Kanan di Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zulkhairi Azizi Zainal Abidin, berkata secara umumnya radius atau jarak bagi hidupan liar bergerak adalah 100 sehingga 300 kilometer persegi.

Bagaimanapun, katanya, persoalan mengenai radius pergerakan harimau juga perlu dinilai bersama dengan kualiti habitat dan status kesihatan haiwan berkenaan.

"Habitat yang kekurangan makanan boleh memaksa harimau keluar dari kawasan. Harimau yang sakit juga boleh memilih alternatif makanan mudah berbanding perilaku memburunya yang biasa.

"Dalam konteks semasa, kawasan perkampungan di pinggir hutan sememangnya terdedah dengan konflik manusia dan harimau.

"Ternakan penduduk dilihat sebagai alternatif sumber makanan ditambah dengan kemerosotan habitat. Bagi harimau yang sakit dan tidak mampu memburu, akan meningkatkan risiko interaksi manusia dengan harimau," katanya kepada BH.

Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini menafikan aktiviti pembalakan menjadi faktor harimau belang masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Dalam kejadian pada jam 9.10 pagi 7 Januari lalu, lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Mengulas lanjut, Zulkhairi berkata, pengamatan secara am menunjukkan konflik manusia dan haiwan liar pada semua peringkat banyak dipengaruhi oleh konflik manusia kepada manusia.

"Konflik manusia wujud di dalam konflik manusia dengan hidupan liar dan sering kali ia diwakili oleh persoalan cara siapa lebih baik atau ideologi politik mana yang disokong.

"Permasalahan ini memerlukan penyelesaian secara menyeluruh. Antara cadangan penyelesaian yang ada dikemukakan adalah membangunkan kapasiti semua pemegang taruh dalam proses membuat keputusan.

"Semua pihak yang terbabit dalam pengurusan hidupan liar harus diberi peluang untuk mengetengahkan permasalahan dan cadangan penyelesaian dengan menepati prinsip keputusan untuk setiap cadangan mengambil kira kepentingan semua pihak.

"Pihak berkuasa juga perlu mempunyai kemahiran mengenal pasti apakah nilai berkaitan hidupan liar dan alam sekitar yang dipegang oleh masyarakat setempat selain cara penyelesaian pegangan nilai masyarakat dapat diselarikan dengan visi jabatan," katanya.

Beliau berkata peranan pihak berkecuali adalah sangat penting dalam proses membuat keputusan baik di peringkat tempatan, nasional dan global.

"Semua pemegang taruh hendaklah jelas bahawa keputusan untuk mencapai sesuatu persetujuan terbaik selain hubungan kerjasama dan komunikasi dua hala yang baik.

"Sebagai individu pula, kita perlu mengamalkan rasa empati dalam memberi maklum balas atas sesuatu maklumat supaya dapat mengurangkan intensiti konflik membabitkan isu hidupan liar agar keselamatan semua pihak terjamin," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata cadangan kerajaan mengadakan koridor ekologi sepatutnya disambut baik dan disegerakan.

Di samping itu, katanya program Central Forest Spines (CFS) untuk menyambung hutan utama di Semenanjung boleh membantu menambah kawasan legar hidupan liar termasuk harimau Malaya.

"Kajian segera perlu dilakukan untuk pemuliharaan harimau yang kritikal populasinya. Pengkaji yang berwibawa perlu dilantik dan diselaraskan daripada semua aspek kajian bagi mencapai matlamat pemuliharaan.

"Kempen berterusan bersama NGO seperti MNS perlu bagi meningkatkan kesedaran awam dan mendapat sokongan semua pihak termasuk badan korporat dalam usaha pemuliharaan hidupan liar itu," katanya.

Berita Harian X