KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendesak pihak berkuasa supaya melakukan siasatan terperinci kes penjualan sijil vaksin COVID-19 dan seterusnya membawa pesalah ke muka pengadilan.
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai, berkata pesalah perlu dijatuhkan hukuman paling berat kerana kes demikian adalah kesalahan serius yang berisiko membahayakan nyawa tidak terkira banyaknya.
Dalam kes terbaru adalah amat mengejutkan apabila lebih 5,000 sijil digital vaksinasi dikeluarkan oleh klinik di Gombak kepada individu yang tidak diberikan suntikan vaksin COVID-19.
"Kami serius terhadap segelintir yang mencemarkan nama baik dan reputasi profesion perubatan. MMA akan menyokong tindakan paling tegas diambil terhadap mana-mana pengamal perubatan yang didapati terbabit dalam perbuatan tidak bertanggungjawab dan jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bagi pengamal perubatan berdaftar, lesen mereka boleh dibatalkan oleh Majlis Perubatan Malaysia.
Unit Penguatkuasaan Kemudahan Swasta di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu mengambil langkah tegas lain seperti penutupan segera premis dan mendakwa mereka yang didapati terbabit kegiatan itu di mahkamah.
"Semalam, MMA menerima aduan daripada seorang individu mengenai sijil vaksin palsu dan akan membuat laporan polis. Orang ramai juga boleh menghantar aduan melalui e-mel kepada secretary@mma.org.my," katanya.
Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata polis mengesan sebuah klinik swasta di Gombak disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.
Dalam serbuan di klinik swasta itu pada Jumaat lalu, tujuh individu termasuk pemilik klinik berkenaan ditahan. Tujuh individu berkenaan berusia antara 20 hingga 35 tahun yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita membabitkan pemilik, pekerja dan runner klinik swasta berkenaan.
"Siasatan awal mendapati kegiatan kumpulan itu dikesan menerusi pesanan yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.
"Klinik itu juga mendapat kebenaran KKM untuk melaksanakan suntikan vaksin COVID-19. Pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas mendapati, terdapat 5,601 pesakit yang sudah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.
Terdahulu, 8 Januari lalu kegiatan seorang doktor antivaksin yang menjual sijil vaksin palsu di Marang, Terengganu terbongkar apabila doktor berusia 51 tahun itu ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Mengabang Tengah di Kuala Terengganu.
Pada 11 Januari lalu pula, sepasang suami isteri yang juga penjawat awam di Alor Gajah ditahan kerana memiliki sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dalam aplikasi MySejahtera.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja di jabatan sama dipercayai orang tengah untuk pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu memperoleh sijil palsu bagi dua dos vaksin.