Selasa, 18 Januari 2022 | 3:33pm
BERSATU Johor menyerahkan kepada pimpinan tertinggi parti itu bagi menentukan tindakan berkaitan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain. - Foto fail NSTP
BERSATU Johor menyerahkan kepada pimpinan tertinggi parti itu bagi menentukan tindakan berkaitan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain. - Foto fail NSTP

Kes Rasman: BERSATU Johor serah pada pucuk pimpinan

JOHOR BAHRU: BERSATU Johor menyerahkan kepada pimpinan tertinggi parti itu bagi menentukan tindakan berkaitan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.

Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Md Nasir Hashim, berkata buat masa ini polis menyiasat kes berkenaan ADUN Sedili itu berikutan ada laporan polis dibuat.

"Namun, BERSATU Johor akan mendapatkan penjelasan Rasman berkenaan kes itu dalam waktu terdekat. Kes ini sedang disiasat PDRM dan tidak elok untuk BERSATU Johor mengulas lanjut," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, media melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.

ADUN Sedili, Rasman Ithnain
ADUN Sedili, Rasman Ithnain

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan dakwaan salah laku ADUN terbabit, terhadap wanita berumur 26 tahun di Balai Polis Kota Tinggi jam 11.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, Rasman menerusi kenyataan, dilaporkan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang wanita yang membuat laporan polis yang mendakwa diganggu secara seksual, kelmarin.

Rasman dilaporkan berkata, tuduhan berkenan bukan sahaja satu konspirasi politik, malah fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi beliau selaku seorang wakil rakyat.

Beliau turut dilaporkan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imejnya.

Berita Harian X