Selasa, 18 Januari 2022 | 1:12pm
Zarina Yusof di gerai jualan sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Zarina Yusof di gerai jualan sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Bekalan sayur cukup, harga stabil

KOTA BHARU: Bekalan sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mencukupi bagi menampung permintaan pengguna selain harganya semakin stabil.

Tinjauan mendapati kebanyakan peniaga tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan daripada pemborong bagi menampung permintaan pengguna.

Peniaga sayur, Zarina Yusof, 44, berkata harga sayur mula menunjukkan penurunan sehingga RM3 sekilogram sejak dua minggu lalu.

"Bekalan dan harga sayur sememangnya akan ada naik turun dan ia adalah perkara biasa terutamanya apabila tiba musim perayaan dan tidak lama lagi Tahun Baharu Cina.

"Antara sayur-sayuran yang kini menunjukkan penurunan harga termasuklah timun yang dijual RM4 sekilogram berbanding RM5, manakala lada solok dijual pada harga RM16 sekilogram berbanding RM25 sebelum ini.

"Walau bagaimanapun, terdapat juga sayuran yang mengalami kenaikan harga, antaranya terung yang dijual pada harga RM9 sekilogram berbanding RM6, kacang bendi pula dijual RM14 sekilogram berbanding RM8 sekilogram, dan cili padi merah pula dijual RM12 sekilogram berbanding RM9 sebelum ini.

"Pengguna biasanya tidak begitu berkira dengan harga asalkan bekalan ada untuk keperluan mereka," katanya ketika ditemui di RTC Tunjong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Azmi Mat Noor, 58, harga sayuran mula menunjukkan penurunan sejak beberapa minggu lalu, namun dia tidak menolak kemungkinan harganya akan kembali naik menjelang Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Selain itu, mungkin akan berlakunya kekurangan bekalan sayur disebabkan pekerja ladang di Cameron Highlands bercuti sekali gus ia tidak dapat dihantar ke sini dan saya menjangkakan kenaikan harga sayur ini diramalkan dalam tempoh seminggu dua lagi.

"Walau bagaimanapun, tidak boleh dinafikan kenaikan harga tetap berlaku, tetapi bukan pada waktu sekarang kerana pemborong masih lagi mengekalkan harga lama dan setakat ini bekalan sayur yang dijual masih lagi mencukupi," katanya.

Berita Harian X