X
Selasa, 18 Januari 2022 | 12:40pm
Penduduk Kampung Seberang Batu Badak juga mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Gemerih sedang berkemas untuk pulang semula ke rumah masing-masing. - Foto Ahmad Ismail
Penduduk Kampung Seberang Batu Badak juga mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Gemerih sedang berkemas untuk pulang semula ke rumah masing-masing. - Foto Ahmad Ismail

Bah Segamat pulih sepenuhnya

SEGAMAT: Keadaan banjir di Segamat pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Agama Gemerih, di sini, ditutup pada jam 12 tengahari tadi.

Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim, berkata PPS itu sebelum ini menempatkan 37 orang daripada lapan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak.

"Semua mangsa dibenarkan pulang selepas air di kawasan itu surut dan selamat untuk kembali ke kediaman masing-masing.

"Terkesan dengan bah termenung berlumpur menyebabkan mereka menjadi kumpulan terakhir di daerah ini dibenarkan pulang semula kekediaman," katanya ditemui di PPS Sekolah Agama Gemerih di sini, hari ini.

Turut hadir Penghulu Mukim Gemerih, Nur Shah Afendi Asmon.

PPS Sekolah Agama Gemerih mula diaktifkan jam 2 petang pada 1 Januari lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 68 PPS dibuka sejak 1 Januari lalu bagi menempatkan 4,161 mangsa banjir daripada 1,095 keluarga dari sekitar daerah Segamat, Gemerih, Jementah, Batu Anam, Tenang Stesyen, Kampung Tenang, Chodan, Tekam, Kampung Limau Manis dan Kampung Spang Loi.

Terdahulu, beberapa PPS di daerah ini yang dibuka sebelumnya sudah ditutup secara berperingkat.

Berita Harian X