Selasa, 18 Januari 2022 | 10:51am
Foto hiasan
Foto hiasan

18 kematian COVID-19 dilaporkan semalam

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 18 kes kematian akibat COVID-19 sehingga tengah malam tadi, dengan dua daripadanya membabitkan kematian di luar kemudahan kesihatan (BID).

Berdasarkan laman sesawang github kendalian KKM, kes kematian itu direkodkan di tujuh negeri dengan Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu enam kes, termasuk satu kes BID.

Ia diikuti Terengganu dengan tiga kematian dan satu BID, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan dua kes kematian serta satu di Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah.

Dalam pada itu, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mencatatkan sifar kes kematian.

Sehingga tengah malam tadi juga, laman sesawang COVIDNOW menunjukkan pengurangan sebanyak 581 kes aktif.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif terkini sebanyak 40,618.

Kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) direkodkan adalah sebanyak 54.8 peratus dengan 20.5 peratus atau sebanyak 184 katil membabitkan pesakit COVID-19.

Sementara pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital sehingga tengah malam tadi, adalah seramai 852 orang atau mewakili 27.6 peratus daripada keseluruhan 62.4 peratus kadar penggunaan katil.

Selain itu, seramai 87 pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan dengan kadar penggunaan keseluruhan sebanyak 33.7 peratus termasuk bukan kes COVID-19.

COVIDNOW turut melaporkan, 33 peratus pesakit COVID-19 kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk pemantauan lanjut.

Untuk rekod, sebanyak 2,362 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara meningkat kepada 2,810,689 kes.

Berita Harian X