X
Isnin, 17 Januari 2022 | 8:40pm
 Ismail Sabri berharap sambutan Thaipusam mampu semai sifat kebersamaan dalam Keluarga Malaysia. - Foto fb Perdana Menteri
Ismail Sabri berharap sambutan Thaipusam mampu semai sifat kebersamaan dalam Keluarga Malaysia. - Foto fb Perdana Menteri

Raikan Thaipusam dalam norma baharu demi keselamatan keluarga, masyarakat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada penganut Hindu di seluruh negara yang akan meraikannya, esok.

Menerusi catatan di laman Facebook, beliau berharap perayaan itu disambut penuh pengertian yang mendalam dan bersama keluarga tersayang.

"Terapkan perayaan dengan amalan norma baharu untuk keselamatan diri kita, keluarga dan masyarakat. Selamat menyambut Hari Thaipusam," kata catatan itu.

Ismail Sabri berkata, tanah air ini dipenuhi keharmonian, silang budaya dan rakyat yang saling hormat menghormati, manakala kepelbagaian bangsa, agama serta budaya dalam kalangan rakyat juga menjadi sumber kekuatan Keluarga Malaysia.

Sementara itu, dalam ucapan menerusi video, beliau berkata, Thaipusam adalah perayaan penting bagi kaum India beragama Hindu di Malaysia yang diraikan pada Bulan Thai iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Katanya, sebelum dilanda penularan COVID-19, Thaipusam disambut dengan perarakan ke kuil Hindu dengan membawa kavadi dan juga 'paal koodam' yang mengandungi susu.

"Walaupun pada tahun ini sambutan diadakan secara sederhana dan kecil-kecilan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, saya berharap Keluarga Malaysia beragama Hindu dapat meneruskan upacara mengikut norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Semoga sambutan Thaipusam pada tahun ini terus memupuk semangat perpaduan sesama rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa, sekali gus menyemai sifat keterangkuman dan kebersamaan antara Keluarga Malaysia," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X