X
Isnin, 17 Januari 2022 | 8:10pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

97.1 peratus KIR berdaftar di PPS terima bayaran BWI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97.1 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) sudah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi banjir gelombang pertama setakat ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini, berkata tiga negeri yang selesai pembayaran BWI gelombang pertama dan kedua ialah Perak (309 KIR), Terengganu (451 KIR) dan Kuala Lumpur (1,175 KIR).

"Bantuan Barangan Keperluan Asas turut diagihkan kepada KIR yang rumah ditenggelami air ketika banjir monsun timur laut (MTL) 2021/2022.

"Kuala Lumpur mencatat peratusan pembayaran sebanyak 94 peratus, manakala Melaka sudah membuat pembayaran kepada 57.4 peratus daripada KIR terkesan," katanya.

Laporan Unit Penyelarasan Pelaksanaan bagi bantuan Pembaikan Rumah Maksimum RM5,000 pula menyebut Kelantan sudah selesai membuat pembayaran kepada 13 KIR (100 peratus).

Menurut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, terdapat pertambahan dua kejadian tanah runtuh direkodkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan insiden itu sepanjang MTL 2021/2022 ialah 282.

Kenyataan itu berkata, tiada pertambahan kejadian cerun runtuh dan jalan runtuh dilaporkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan jumlah keseluruhan insiden kekal 47. – BERNAMA

Berita Harian X