Isnin, 17 Januari 2022 | 6:49pm
Tan Sri Azam Baki. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Tan Sri Azam Baki. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Ahli PSC bantah tangguh mesyuarat

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri membantah keputusan penundaan mesyuarat PSC, yang dijadualkan Rabu ini.

Empat ahli jawatankuasa itu Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang. William Leong Jee Keen.

Mereka berkata, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberikan maklum balas mesyuarat itu melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat.

Katanya, antara isu yang dibangkitkan Azam ialah beliau sudah memfailkan saman sivil terhadap seorang pemberita dan tiada sesiapa dibenarkan membincangkan fakta kes atau memberikan komen terhadap perkara itu yang kini menjadi perkara mahkamah (subjudis).

Selain itu, mereka berkata, Azam menyatakan pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Jawatankuasa Aduan SPRM sedang menjalankan siasatan berkenaan pemilikan saham itu.

"Beliau juga mendakwa sekiranya sifat dan kelakuan beliau dibincang, itu seharusnya dibawa melalui usul dan bukan melalui PSC.

"Kami amat tidak bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Azam dan kami ingin menegaskan Azam seharusnya menghadiri di hadapan kami pada mesyuarat PSC itu, bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

"Bukannya meremehkan surat panggilan pihak Parlimen dan sehingga Setiausaha Dewan Rakyat menanggguhkan mesyuarat PSC yang ditetapkan hanya sebab perkara ini dirujuk kepada Pegawai Undang-Undang Parlimen ataupun Peguam Negara.

"Perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincangkan dan ditetapkan," katanya dalam kenyataan bersama, hari ini.

Mereka berkata, bidang kuasa PSC bagi menentukan sama ada terdapat mekanisme yang berkesan bagi menjalankan siasatan dan tindakan disiplin bagi perkara yang berlaku.

"Bidang kuasa PSC untuk mengenal pasti sumber-sumber kuasa yang sedia ada dan sama ada mencukupi.

"Selain itu, kuasa-kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberikan keterangan selaras dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan jelas menghina Parlimen, apabila mentah-mentah meremehkan panggilan Parlimen," katanya.

Mereka menegaskan, memandangkan mesyuarat PSC Agensi JPM sudah dilapangkan, PSC seharusnya segera menetapkan tarikh yang baharu.

Kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberikan keterangan selaras dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. - Foto JABATAN PENERANGAN
Kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberikan keterangan selaras dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. - Foto JABATAN PENERANGAN

Berita Harian X