Isnin, 17 Januari 2022 | 6:46pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Omicron boleh sebabkan kemasukan ke hospital meningkat'

KUALA LUMPUR: Beberapa pakar kesihatan awam dan epidemiologi tidak menolak kemungkinan penularan varian Omicron antara faktor peningkatan jumlah pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital di beberapa negeri, khususnya di Kuala Lumpur.

Ia selaras peningkatan kes varian Omicron yang dikesan di Malaysia ini, dengan sejumlah 253 kes disahkan membabitkan varian baharu yang amat mudah berjangkit setakat 10 Januari lalu.

Pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan trend jangkitan varian Omicron yang semakin meluas di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau berkata, faktor Omicron hanya dapat disimpulkan melalui perbandingan data kes varian itu yang dikesan di seluruh negara daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Buat masa ini saya tidak dapat buat kesimpulan, namun berdasarkan pola semasa, kita tahu Omicron sedang merebak dan mengambil tempat Delta sebagai varian dominan.

"Atas faktor itu, saya tidak menolak kemungkinan varian Omicron sebagai antara penyebab peningkatan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital di beberapa negeri, terutama Kuala Lumpur," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital di lima negeri mencatat peningkatan sepanjang tempoh tujuh hari lalu, dengan ibu negara merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 52 peratus.

Selain itu, sejumlah 472 pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur dalam tempoh 11 hari, iaitu sejak trend peningkatan bermula pada 6 Januari lalu hingga semalam.

Empat lagi negeri turut mencatat peningkatan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dalam tempoh tujuh hari lalu, iaitu Perak (15 peratus), Perlis (14 peratus), Sarawak (12 peratus) dan Melaka (lapan peratus).

Mengulas lanjut, Dr Malina mengakui jumlah penerima dos penggalak yang masih di bawah 10 juta individu dewasa ketika ini juga boleh menyumbang kepada peningkatan kemasukan ke hospital.

Ia berikutan penurunan antibodi berlaku selepas tempoh tertentu bagi mereka yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 sebelum ini, sekali gus meningkatkan risiko mereka dimasukkan ke hospital jika terdedah dengan jangkitan wabak itu.

"Namun, kita perlu banding juga dengan kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU). Jika tidak ramai masuk ke ICU, ia bererti kebanyakan yang masuk ke hospital memiliki gejala kurang membimbangkan.

"Namun, kita perlu kekal berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta dapatkan dos penggalak untuk elak ledakan Omicron, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Australia dan Filipina," katanya.

Pakar epidemiologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Noran Naqiah Mohd Hairi juga tidak menolak faktor Omicron, khususnya dalam kalangan individu warga emas.

"Walaupun beberapa negara luar berpandangan varian Omicron tidak seteruk Delta, jangkitan yang lebih mudah akan menyebabkan jumlah kes bertambah lebih cepat, sekali gus mungkin menyumbang pada peningkatan kemasukan ke hospital.

"Namun, faktor Omicron hanya boleh disahkan menerusi penjujukan genom, sekali gus kita perlu menunggu maklumat daripada KKM," katanya.

Selain Omicron, Dr Noran Naqiah berpandangan faktor kehidupan awam yang semakin menghampiri pada keadaan 'hampir normal' juga mungkin menyumbang pada peningkatan itu kerana risiko terdedah pada COVID-19 menjadi lebih tinggi berbanding sewaktu peraturan lebih ketat.

"Pergerakan orang ramai ketika musim cuti juga mungkin menyumbang. Kes direkodkan sekarang adalah jangkitan yang berlaku dua minggu lalu, iaitu ketika cuti Tahun Baharu," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai kekal mematuhi SOP, khususnya pemakaian pelitup muka yang terbukti berjaya mengurangkan kadar jangkitan COVID-19, selain mengelak pergi ke kawasan tumpuan awam.

"Pastikan pemakaian pelitup muka dengan betul kedap dan segera dapatkan dos penggalak," katanya.

Berita Harian X