Isnin, 17 Januari 2022 | 3:48pm

Siasatan terperinci maklumat Rohana - Hamzah

KUANTAN: Siasatan terperinci akan dilakukan berhubung soal taraf kewarganegaraan, Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika, selepas ibunya pulang ke Indonesia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata untuk memberikan taraf kewarganegaraan bukannya mudah, ia mesti mempunyai dokumen yang diperlukan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak boleh memberikan kewarganegaraan secara pukal kerana masalah dihadapi seperti yang berlaku kepada Rohana adalah banyak.

"Angka yang besar seperti berlaku di Sabah dan Sarawak serta di seluruh negara. Dalam kes ini, biar kita buat kajian dan akan bantu kepada mereka yang memerlukan.

"Insya-Allah, saya difahamkan bapa kepada Rohana adalah warganegara Malaysia atas sebab itu jika ada dokumen yang membuktikannya, ia mudah untuk kita berikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kisah gadis berusia 22 tahun yang dijaga seorang warga emas berketurunan Cina, Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia dua bulan.

Rohana yang kini bekerja sebagai guru tuisyen, berharap dapat memiliki sekurang-kurangnya kad pengenalan sementara untuk

memudahkan kehidupannya.

Kelmarin, gadis itu menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan mengenai kisahnya seperti yang disiarkan di media.

Menerusi laman Facebook, Ismail Sabri sedia membantu Rohana untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Ismail Sabri berkata, Rohana dibesarkan dengan baik dan mendapat didikan agama Islam walaupun berbeza agama dengan ibu angkatnya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita Cina, Hoi Lan menunjukkan kemurnian hati dan kasih sayang yang tinggi selepas memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi.

Biar berbeza budaya dan agama, itu tidak menjadi penghalang untuknya menumpahkan kasih sayang kepada remaja itu termasuk menyediakan wang belanja untuk mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Rohana bersama Chee Hoi Lan yang menjaganya sejak dia berusia dua bulan. - Foto NSTP
Rohana bersama Chee Hoi Lan yang menjaganya sejak dia berusia dua bulan. - Foto NSTP
Berita Harian X