Isnin, 17 Januari 2022 | 3:12pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Mesyuarat kuartet COVID-19 tentukan peralihan ke fasa endemik

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Luar Negeri (MOFA) dan beberapa pihak berkaitan akan menyampaikan taklimat dalam mesyuarat kuartet COVID-19 minggu depan sebelum sebarang ketetapan mengenai pengisytiharan peralihan ke fasa endemik diputuskan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata taklimat itu membabitkan laporan situasi semasa kesan daripada banjir, varian Omicron dan pengembara yang kembali ke tanah air khususnya dari Arab Saudi.

Katanya, perkara itu kemudian akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas COVID-19 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Fasa peralihan ini tidak lama dan mungkin dua, tiga minggu sahaja. Perdana Menteri akan membuat keputusan dan mengumumkan bila tarikh sebenarnya untuk kita beralih kepada fasa endemik. Yang penting peralihan tidak dilakukan secara semborono.

"Kita tetapkan tujuh asas perlu dipatuhi orang ramai dan ini boleh kita maklumkan kepada media melalui setiausaha akhbar saya berkaitan dengan pengurangan prosedur operasi standard (SOP), pendekatan ujian kendiri dan beberapa perkara lain.

"Penangguhan itu hanya sementara yang saya umumkan menyebabkan kita berhati-hati beberapa minggu ini tetapi kita sudah bersedia untuk beralih fasa endemik. Namun pada akhirnya bukan untuk saya umum, sebaliknya Perdana Menteri akan berbuat demikian selepas dipersetujui dalam jawatankuasa itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengenai gesaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hishammuddin berkata, pihaknya perlu mendapat maklum balas KKM berhubung perkara itu.

"Orang Johor akan tanya apa beza PRN di Melaka dan Sarawak jika PRN Johor diteruskan. Ini bukan untuk saya menentukan. Bila ianya diputuskan nanti tugas kita yang menyelaras antara kementerian bersama kepemimpinan Johor.

"Tunggu keputusan dahulu dan berkaitan (SOP) COVID-19 nanti kita akan fikirkan. Jangan kita takutkan orang ramai kerana yang penting jika keputusan untuk mengadakan PRN, biar ia berjalan dengan selamat. Pengalaman kita di (PRN) Sabah dan Melaka menjadi sandaran," katanya.

Ditanya Pasukan Petugas Khas (NTF) akan dibubarkan selepas Ops Benteng dihentikan Jun ini, Hishammuddin berkata, beliau akan mendapatkan nasihat daripada pihak kepemimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai perkara itu.

"Saya akan turut bincang perkara ini dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana ianya adalah kerjasama dan koordinasi agensi bertanggungjawab.

"Akhirnya penentuan dan keputusan ke depan ialah di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X