Isnin, 17 Januari 2022 | 2:04pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan
https://covidnow.moh.gov.my/bm/vaccinations
https://covidnow.moh.gov.my/bm/vaccinations

80 peratus penduduk dijangka terima dos penggalak

KUALA LUMPUR: Jumlah individu dewasa berusia 18 tahun ke atas yang menerima dos penggalak vaksin COVID-19, dijangka bakal mencecah 80 peratus menjelang hujung bulan depan, menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

ProtectHealth adalah syarikat milik penuh Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipertanggungjawab mengurus fasiliti pusat pemberian vaksin (PPV) oleh pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata unjuran itu berdasarkan penerimaan positif golongan dewasa terhadap dos penggalak ketika ini.

Jika unjuran itu berjaya dicapai, beliau percaya ia bakal memberi impak penting dalam usaha kerajaan mempersiapkan negara berdepan risiko penularan varian Omicron.

Setakat hari ini, katanya, lebih sembilan juta dos penggalak sudah diberikan kepada individu berusia 18 tahun ke atas, yang merangkumi 40 peratus daripada jumlah keseluruhan golongan berkenaan.

"Vaksinasi dos penggalak dewasa hari ini telah melebihi 40 peratus. Berdasarkan peningkatan kapasiti ini dan maklum balas positif daripada penerima vaksin, disasarkan 60 peratus dewasa akan menerima dos penggalak sebelum hujung Januari, dan 80 peratus sebelum hujung Februari.

"Ini adalah persiapan penting dalam mitigasi melawan COVID-19 dan varian Omicron," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Portal COVIDNOW menunjukkan seramai 9,364,326 individu berusia 18 tahun ke atas sudah menerima dos penggalak setakat ini, dengan kapasiti pemberian dos penggalak adalah 145,922 dos sehari ketika ini.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/vaccinations
https://covidnow.moh.gov.my/bm/vaccinations

Menurut Dr Anas, lebih 73 peratus daripada keseluruhan dos penggalak yang sudah diberikan itu dilaksanakan oleh ProtectHealth menerusi pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan.

"Sehingga 16 Januari (semalam), ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan NGO kesihatan telah memberikan 6,866,085 juta dos penggalak, iaitu 73.3 peratus daripada keseluruhan dos penggalak yang telah diberikan di seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, jumlah individu dewasa yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 di Malaysia sudah mencecah 99 peratus atau 23,183,820 individu.

Jumlah yang sudah lengkap divaksin turut mencatat angka memberangsangkan dengan 97.8 peratus atau 22,903,466 individu.

Bagi penerima vaksin berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 90.9 peratus atau 2,861,589 remaja sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 88.1 peratus atau 2,773,734 remaja pula sudah menerima dos lengkap setakat semalam.

Secara keseluruhan, sejumlah 78.6 peratus atau 25,677,200 daripada lebih 32 juta penduduk Malaysia sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, dengan lebih 60.8 juta dos, termasuk dos penggalak, sudah diberikan.

Berita Harian X