Isnin, 17 Januari 2022 | 12:46pm
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - NSTP/ASWADI ALIAS
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - NSTP/ASWADI ALIAS

TH diarah selesaikan isu larangan pakai songkok, kopiah

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) diarah segera menyelesaikan isu kakitangan TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) dilarang memakai songkok dan kopiah ketika bertugas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menegaskan bahawa pemakaian songkok dan kopiah oleh kakitangan hotel ketika bertugas, tidak sepatutnya menjadi masalah.

Justeru, katanya, beliau sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, semalam, dan meminta perkara itu diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Tiada masalah sebenarnya (memakai songkok dan kopiah ketika bertugas) asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutup aurat dan seragam.

"Saya meminta CEO TH segera menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu hantaran melalui Facebook beliau, semalam.

Beliau mengulas satu memorandum bertarikh 14 Januari lalu dikeluarkan pihak pengurusan THKJ, yang antara lain meminta semua kakitangan hotel itu untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas, kecuali sewaktu menunaikan solat.

Tabung Haji Hotel Kelana Jaya (THKJ) mengeluarkan memorandum pemakaian ketika bertugas.- Foto Facebook Idris Ahmad
Tabung Haji Hotel Kelana Jaya (THKJ) mengeluarkan memorandum pemakaian ketika bertugas.- Foto Facebook Idris Ahmad

Memorandum itu turut meminta kakitangan THKJ untuk berpakaian kemas, termasuk memakai kasut bertutup serta menjaga kebersihan diri ketika bertugas.

Memorandum itu yang turut dikongsikan Idris melalui Facebook, ditandatangani oleh Pengurus Hotel THKJ, Mohamad Nazrul Nazib Nasihin.

Ketika mendapatkan penjelasan daripada Amrin berhubung memorandum terbabit, Idris berkata, beliau dimaklumkan bahawa ia dikeluarkan tanpa maklum balas daripada pihak pengurusan TH terlebih dahulu.

"Lepas balik dari solat isyak, saya mendapat maklumat mengenai memorandum THKJ. Terus hubungi CEO TH.

"Ini maklum balas CEO kepada saya. Memo dikeluarkan oleh Pengurus Hotel tanpa maklum balas (pengurusan TH)," katanya.

Berita Harian X