Isnin, 17 Januari 2022 | 10:50am
Gambar fail - Ketua Jururawat, Junaini Johari, sedang memantau keadaan seorang pesakit COVID-19.
Gambar fail - Ketua Jururawat, Junaini Johari, sedang memantau keadaan seorang pesakit COVID-19.

Hospital 5 negeri catat peningkatan kemasukan pesakit COVID-19

KUALA LUMPUR: Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital di lima negeri, mencatatkan peningkatan sepanjang tempoh tujuh hari lalu, dengan ibu negara merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 52 peratus.

Portal COVIDNOW oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan, purata jumlah pesakit dijangkiti wabak itu yang dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur adalah seramai 44 individu dalam tempoh tujuh hari.

Secara keseluruhan, sejumlah 472 pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur dalam tempoh 11 hari, iaitu sejak trend peningkatan bermula pada 6 Januari lalu hingga semalam.

Bagaimanapun, peningkatan itu dilihat masih terkawal berikutan kadar penggunaan katil hospital di ibu negara berada pada kadar 46 peratus, dengan penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 adalah sekitar 60 peratus.

Selain itu, Kuala Lumpur turut merekodkan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 16 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan sejumlah 1,962 kes baharu dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases

Empat lagi negeri turut mencatat peningkatan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dalam tempoh tujuh hari lalu, iaitu Perak (15 peratus), Perlis (14 peratus), Sarawak (12 peratus) dan Melaka (lapan peratus).

Kapasiti penggunaan katil hospital di Melaka agak membimbangkan dengan kadar 84 peratus, manakala Perak mencatatkan kapasiti 64.7 peratus, selain Perlis (62.4 peratus) dan Sarawak (58.4 peratus).

Sementara itu, sebanyak 12 lagi kes kematian pesakit COVID-19 dicatatkan semalam, menjadikan angka korban keseluruhan akibat wabak itu di negara ini bertambah kepada 31,793.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter memaklumkan, kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di seluruh negara kembali kepada 1.0 semalam.

Katanya, empat negeri mencatat nilai Rt melebihi purata kebangsaan, iaitu Kuala Lumpur (1.08), Negeri Sembilan (1.07), Sabah (1.05) dan Selangor (1.02), selain Melaka yang mencatat Rt 1.0.

Berita Harian X