Ahad, 16 Januari 2022 | 8:08pm
Tuan Ibrahim meninjau kemudahan telaga tiub yang dibina menerusi Projek Wakaf Air bagi kegunaan penduduk Felda Sungai Retang, Jerantut. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Tuan Ibrahim meninjau kemudahan telaga tiub yang dibina menerusi Projek Wakaf Air bagi kegunaan penduduk Felda Sungai Retang, Jerantut. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

Tabung Wakaf Air peruntuk RM2j atasi isu sumber bekalan

JERANTUT: Sejumlah RM2 juta diperuntukkan dari dana Tabung Wakaf Air bagi menyelesaikan masalah sumber bekalan air di seluruh negara tahun ini, terutama di kawasan pedalaman.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata RM1 juta sudah dibelanjakan setakat ini bagi menyediakan 32 wakaf air di seluruh negara.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) membelanjakan kira-kira RM2 juta daripada dana terkumpul RM3 juta hasil sumbangan orang ramai.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 20 telaga tiub sudah mula beroperasi manakala 12 lagi sudah diserahkan kepada jawatankuasa dan wakil penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek Wakaf Air di Felda Sungai Retang di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, inisiatif Tabung Wakaf Air akan memanfaatkan ramai penerima dan di Jerantut sahaja, lima projek Wakaf Air sudah disiapkan iaitu di Kampung Batu Balak, Kampung Tanah Pindah, Kampung Belukar dan di Jalan Tamalian dan Jalan Jengkuar, Felda Sungai Retang.

"Projek dengan kos RM248,175 itu akan memanfaatkan 615 penduduk daripada 139 keluarga di kawasan terbabit.

"Melalui usaha ini, kawasan pedalaman yang di luar capaian rangkaian paip air terawat dan kerap menghadapi masalah bekalan dapat menikmati sumber air alternatif," katanya.

Tabung Wakaf Air yang dilancarkan pada 17 Disember 2020 adalah inisiatif KASA melalui kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Ia bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf.

Sumbangan wakaf boleh disalurkan menerusi sistem Wakaf Tunai di pautan https://www.ywm.gov.my/wakaf-air.

Berita Harian X