Ahad, 16 Januari 2022 | 3:06pm
Shahul Hamid Abdul Rahim. - Foto fail NSTP
Shahul Hamid Abdul Rahim. - Foto fail NSTP

Segera tangani isu integriti dan rasuah, elak kepercayaan rakyat tergugat

KUALA LUMPUR: Kepercayaan umum terhadap institusi penting negara yang terpalit dalam isu integriti dan rasuah akan tergugat jika masalah itu tidak ditangani dengan berkesan, malah rakyat juga dikhuatiri mengambil tindakan sendiri kerana hilang kepercayaan dengan ketelusan dan kewibawaan insitusi berkenaan.

Justeru, Presiden Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi penting terbabit perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kes seperti yang menimpa Greece dan Hong Kong yang kerajaan masing-masing sebelum ini runtuh disebabkan isu sedemikian.

Beliau yang juga bekas Pengarah Akademi Imigresen Malaysia, berkata majoriti rakyat bukan hanya mengkritik, tetapi juga bosan dengan pelbagai perkembangan isu rasuah dan integriti yang melanda institusi penting negara kebelakangan ini.

Laporan akhbar BH hari ini mengenai nasihat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman agar usaha berterusan dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara yang terpalit isu rasuah dan integriti.
Laporan akhbar BH hari ini mengenai nasihat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman agar usaha berterusan dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara yang terpalit isu rasuah dan integriti.

"Kalau tidak dikawal, mereka (rakyat) mungkin ambil tindakan sendiri disebabkan sudah hilang keperayaan dengan institusi ini. Antara yang dibimbangkan akhirnya ialah rusuhan dan sebagainya bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kerana bagi mereka, sudah tiada ketelusan dan keikhlasan.

"Hal ini penting sebenarnya, walaupun tengok rakyat macam biasa, seperti tidak ada apa yang berlaku, tetapi lama-kelamaan akan ada akibatnya," katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman seperti dilaporkan BH hari ini mengenai usaha berterusan yang perlu dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara yang terpalit isu rasuah dan integriti.

Mohd Khairul Adib yang bersara wajib hari ini, berkata dalam aspek rasuah dan integriti, adalah penting untuk tindakan sewajarnya dilaksanakan pada kadar segera serta telus dan pada masa sama, isu itu bukan lagi mengenai individu sebaliknya lebih kepada keutuhan dan reputasi institusi supaya boleh memainkan peranan dan mandat tanpa kewibawaannya dipersoalkan.

Shahul Hamid berkata, isu integriti dan rasuah membabitkan institusi penting jika tidak diatasi, bukan saja boleh menjatuhkan imej, malah menyebabkan negara runtuh.

Beliau berkata, persepsi rasuah di negara ini pada zaman 1980-an ialah ia hanya membabitkan pegawai bawahan, tetapi akhir-akhir ini bukan sahaja turut mengheret ketua jabatan dan pegawai kanan, malah parti politik dan teraju utama negara.

"Jika isu rasuah tidak dibendung, ia akan merugikan negara dan menyebabkan ekonomi terjejas serta memberi kesan kepada aspek keselamatan," katanya.

Beliau meminta program Biro Tatanegara (BTN) yang dimansuhkan sebelum ini, dikembalikan bagi menanam ilmu kenegaraan dalam jiwa penjawat awam, sekaligus mengelakkan mereka terbabit dalam isu yang boleh merosakkan integriti dan profesionalisme badan kerajaan.

"Selepas program BTN dimansuhkan, lama kelamaan makin teruk nampaknya isu rasuah dan integriti. Jadi kembalikan ilmu sebegini, sedikit sebanyak ia akan memberi kesedaran kepada penjawat awal pelbagai peringkat untuk menjiwai tanggungjawab dan tugas mereka dengan dedikasi dan yang penting sekali dengan integriti," katanya.

Berita Harian X