Ahad, 16 Januari 2022 | 2:19pm

3,010 kes COVID-19 dilaporkan hari ini

PUTRAJAYA: Sejumlah 3,010 kes baharu COVID-19 direkodkan setakat jam 12 tengah tadi, menurun sedikit berbanding semalam, 3,074 kes dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kes itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,808,347 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 99.1 peratus kes yang dikesan hari ini berada dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases

"Selebihnya 0.9 peratus lagi adalah pesakit COVID-19 dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

"Kes yang dilaporkan hari ini adalah 2,747 daripada penularan tempatan dengan 263 adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhannya, Dr Noor Hisham berkata, daripada kes aktif di Malaysia, setakat ini terdapat 182 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 146 kes disahkan COVID-19 serta 36 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sejumlah 83 kes memerlukan bantuan dengan 58 daripadanya dijangkiti COVID-19 serta 25 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya berjaya mengesan tujuh kluster baharu, sekali gus menjadikan sebanyak 6,212 kluster penularan COVID-19 sudah dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham, berkata setakat tengah hari tadi sebanyak 2,584 kes sembuh dilaporkan.

Ia menjadikan sehingga kini sebanyak 2,735,355 kes atau 97.4 peratus sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus berkenaan.

- Foto hiasan
- Foto hiasan
Berita Harian X