Ahad, 16 Januari 2022 | 1:32pm
Usaha berterusan perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi penting negara yang terpalit dalam isu rasuah dan integriti. - Foto BERNAMA
Usaha berterusan perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi penting negara yang terpalit dalam isu rasuah dan integriti. - Foto BERNAMA

Kembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi penting negara

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi penting negara yang terpalit dalam isu rasuah dan integriti.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang bersara wajib hari ini, berkata dalam aspek rasuah dan integriti adalah penting untuk tindakan sewajarnya dilaksanakan pada kadar segera dan telus.

"Agensi yang dikaitkan dengan isu kepercayaan rakyat harus bertindak segera dengan melakukan sesuatu bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai terhadapnya.

"Kita perlu telus dan maklumkan proses dan tindakan yang sedang diambil. Ini adalah untuk memberi keadilan kepada kedua-dua pihak.

"Ini bukan lagi mengenai individu. Individu datang dan pergi, namun ia lebih kepada keutuhan dan reputasi sesebuah institusi itu yang perlu dijaga supaya ia boleh terus memainkan peranan dan mandat yang diberikan tanpa kewibawaannya dipersoalkan.

"Sekiranya institusi itu sendiri terbabit atau terpalit dengan pandangan negatif rakyat, banyak tohmahan akan dilemparkan dan profesionalisme institusi itu akan dipersoalkan," katanya kepada BH, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes rasuah dan integriti dalam agensi kerajaan, termasuk yang terbaru dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Azam didakwa memiliki saham dan kepentingan dalam syarikat, manakala Mohd Na'im pula menghadapi dakwaan gangguan seksual susulan laporan polis dibuat seorang wanita berusia 57 tahun.

Mohd Khairul Adib, 60, dilantik sebagai KPPA pada Oktober 2019 menggantikan Tan Sri Borhan Dolah.

Sebelum itu, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Sains Polisi dari Saitama University, Jepun, beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 34 tahun sejak mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 12 Januari 1988.

KPPA berkata: "Dari segi rasuah ini, kita sekali-kali tidak boleh terima kalau ia berlaku dalam kalangan penjawat awam yang diletakkan dalam jawatan amanah.

"Penjawat awam bukan macam ahli politik. Penjawat awam kekal berkhidmat sehingga bersara, kecuali kalau disabitkan dengan kes-kes yang membawa kepada penamatan perkhidmatan." katanya.

Pada masa sama, Mohd Khairul Adib berkata sebagai seorang penjawat awam, mereka mesti membuat pengisytiharan harta secara berkala atau bila mana ada peningkatan ketara dalam akaun mereka.

Beliau berkata, sebarang peningkatan ketara mesti dijelaskan puncanya seperti penerimaan pusaka dan sebagainya.

"Adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Penjawat awam sekiranya mereka gagal berbuat demikian. Ini adalah bagi memastikan semua sumber-sumber kewangan dan aset pegawai adalah teratur dan dimiliki secara sah," katanya.

Ditanya berhubung pengakuan Azam mengenai adiknya yang menggunakan akaun beliau, Mohd Khairul Adib berkata ia adalah di bawah bidang kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

"Proses tindakan tata tertib boleh dilakukan jika mahkamah memutuskannya bersalah... dalam hal ini kita perlu berlaku adil kepada kedua-dua pihak iaitu pihak yang bertanya (pihak luar) dan pihak ditanya," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai antara cabaran besar dihadapinya sejak memegang jawatan KPPA, Mohd Khairul Adib berkata, isu penjawat awam yang terpalit dengan kes rasuah, kartel daging dan kartel perolehan adalah antara tugas yang perlu dihadapinya sepanjang dua tahun berkhidmat di JPA.

Katanya, cabaran yang dihadapinya dalam perkhidmatan awam boleh dibahagikan kepada dua iaitu cabaran luaran dan cabaran dalaman.

"Antara cabarannya adalah untuk memastikan penjawat awam terus mempunyai jiwa berkhidmat yang melebihi kepentingan diri.

"Di sini, DNA penjawat awam yang benar-benar berjiwa rakyat akan diuji. Contoh yang kita lihat adalah semasa puncak penularan wabak COVID-19 dan banjir di beberapa negeri baru-baru ini. Semua usaha ditumpukan kepada mangsa dan bukan diri sendiri.

"Satu lagi cabaran dalaman kita adalah berdepan dengan minda penjawat awam di mana kita hendak mereka kekal bersemangat dalam perkhidmatan kerana kerjaya ini adalah sepanjang hayat.

"Perkhidmatan awam kini sedang dalam keadaan berubah dengan lebih 70 peratus perkhidmatannya menggunakan teknologi maklumat dan secara dalam talian. Ini memerlukan banyak perubahan minda.

"Cabaran luaran pula apabila kita berdepan dengan ketidakstabilan politik (seperti) sebelum ini membabitkan pertukaran pemimpin dengan dasar pengurusan baharu yang diperkenalkan yang perlu dilaksanakan dengan penuh penghayatan oleh penjawat awam," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tugasnya beliau perlu memastikan penjawat awam kekal profesional dan mereka mesti menyimpan kecenderungan sendiri di dalam hati dan terus melaksanakan tugas seperti diarahkan.

"Atas sebab itu, walaupun berlaku pertukaran kerajaan dan kepimpinan beberapa kali sebelum ini, perkhidmatan awam tidak terjejas kerana kita sesuaikan hala tujunya mengikut keadaan dan kepimpinan semasa," katanya.

Bagi Mohd Khairul Adib, isu di luar kawalan seperti COVID-19 dan banjir turut menambah tekanan dalam perkhidmatan awam, namun berjaya dikawal dan diatur supaya perkhidmatan awam tidak goyah dalam membantu kepimpinan kerajaan.

Berita Harian X