Ahad, 16 Januari 2022 | 8:29am
Guru di SK Kuala Paya, Segamat membersihkan kawasan sekolah yang terjejas akibat kejadian banjir. - Foto BERNAMA
Guru di SK Kuala Paya, Segamat membersihkan kawasan sekolah yang terjejas akibat kejadian banjir. - Foto BERNAMA

Banjir di Segamat semakin pulih

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Segamat menunjukkan tanda pulih apabila hanya 77 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata jumlah itu berbanding 83 mangsa daripada 25 keluarga yang ditempatkan di empat PPS pada jam 12 tengah hari semalam.

"Sebuah PPS di Segamat iaitu Kawasan Lapang Kampung Bukit Senggir yang sebelum ini menempatkan enam mangsa daripada sebuah keluarga sudah ditutup jam 10 pagi semalam.

"Di Johor, daerah yang terjejas hanya membabitkan Segamat. Di Tangkak sudah pulih sepenuhnya berikutan semua 12 mangsa daripada tiga keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Chondong dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Keadaan cuaca hari ini cerah dan air banjir dilaporkan kembali surut di kawasan yang terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu jalan yang masih ditutup bagi semua jenis kenderaan adalah Jalan Felda Bukit Aping (Jalan Kemuning 1), Kota Tinggi.

Berita Harian X