Sabtu, 15 Januari 2022 | 8:22pm

99 peratus jangkitan baharu kategori satu, dua

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,074 kes baharu COVID-19 direkodkan setakat jam 12 tengah hari ini sekali gus menjadikan kes jangkitan keseluruhan sebanyak 2,805,337 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes yang dikesan, 3,044 kes atau 99 peratus membabitkan kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

"Sebanyak 30 kes atau satu peratus adalah kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata ia terdiri daripada 2,755 kes penularan tempatan dengan 319 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Setakat ini sebanyak 193 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 158 kes disahkan COVID-19 dan 35 kes lagi berkemungkinan, disyaki dan dalam siasatan.

"Bagi yang duduk di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, terdapat 90 kes iaitu 61 kes sudah disahkan COVID-19 serta 29 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 10 kluster baharu penularan COVID-19 yang dikesan menjadikan hingga kini terdapat sebanyak 6,205 kluster.

Beliau turut memaklumkan, hari ini terdapat sejumlah 2,828 kes sembuh dilaporkan di negara ini sekali gus menjadikan jumlah kes individu yang pulih sepenuhnya di negara ini adalah 2,732,771 kes.

Berita Harian X