Sabtu, 15 Januari 2022 | 3:31pm
Foto fail BERNAMA
Foto fail BERNAMA

Doktor, 6 individu dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA TERENGGANU: Tujuh individu termasuk doktor swasta yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan pendakwaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, ia susulan tempoh tahanan reman terhadap doktor swasta yang juga suspek utama berusia 51 tahun dan enam suspek lain berakhir hari ini.

Beliau berkata, doktor swasta dan enam suspek sebelum ini masing-masing direman selama dua hari dan tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Mereka sebelum ini ditahan reman susulan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa tidak menerima sijil berkenaan walaupun sudah membuat pembayaran.

"Semua suspek akan diberi jaminan polis sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan," katanya di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan terhadap pembeli sijil vaksinasi COVID-19 palsu yang membuat laporan kerana tidak mendapat sijil selepas membuat pembayaran, M Zambri berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, suspek utama yang dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin (Khamis) ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu tidak sampai 24 jam dibebaskan manakala, enam suspek berusia 35 hingga 57 tahun itu direman selama tiga hari bermula kelmarin.

Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (janji temu) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek utama pada 8 Januari lalu.

Berita Harian X