Jumaat, 14 Januari 2022 | 9:06pm
Tan Sri Noh Omar (tengah) melawat syarikat memproses perut lembu import di Parit 1, hari ini - Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Tan Sri Noh Omar (tengah) melawat syarikat memproses perut lembu import di Parit 1, hari ini - Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Bank diingatkan permudahkan pinjaman bantu usahawan luar bandar

TANJONG KARANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengingatkan institusi kewangan supaya mempermudahkan permohonan pembiayaan pinjaman kepada usahawan luar bandar yang terjejas akibat banjir dan COVID-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, institusi kewangan itu membabitkan dua bank tempatan iaitu Bank Rakyat dan SME Bank yang menguruskan pembiayaan berjumlah RM62 juta oleh pihaknya, semalam.

"Saya nak ingatkan pembiayaan ini adalah dana kerajaan dan bukannya dana bank. Kita memahami masalah dihadapi golongan ini khususnya yang terjejas.

"Kita mahu semua proses ini dipermudahkan bagi memberi peluang kepada usahawan memulihkan kembali perniagaan mereka," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi sebuah syarikat memproses perut lembu import di Parit 1, dekat sini.

Sebelum ini, media melaporkan pinjaman itu dikhaskan kepada usahawan luar bandar termasuk individu yang disenarai hitam oleh CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dengan permohonan pembiayaan sehingga RM50,000 tanpa sebarang cagaran atau syarat tambahan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata usahawan yang berdepan kesulitan untuk membuat pinjaman boleh membuat aduan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Katanya, permohonan perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Malaysia (TEKUN Nasional).

"Kita mengutamakan usahawan muda dan mereka yang benar-benar serius menjalankan perniagaan," katanya.

Berita Harian X