Jumaat, 14 Januari 2022 | 3:00pm
Noraini Ahmad menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada mangsa banjir di Pagoh, Johor, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan KPT
Noraini Ahmad menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada mangsa banjir di Pagoh, Johor, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan KPT

RM4 juta bantuan untuk mangsa banjir

BATU PAHAT: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui agensinya, universiti awam, politeknik dan kolej komuniti sudah menyalurkan bantuan bernilai RM4 juta kepada mangsa banjir sejak pertengahan Disember tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sebanyak 43,806 kotak sumbangan berisi makanan dan keperluan asas membabitkan RM3,625,000 selain bantuan kewangan berjumlah RM364,000 disumbang dan diagihkan kepada mangsa yang terkesan.

"Bencana banjir yang melanda negara pada pertengahan Disember tahun lalu telah menyebabkan ramai yang menanggung kerugian akibat kerosakan pelbagai harta benda.

"Atas keprihatinan berkenaan, KPT telah menggerakkan Misi Menyantuni Mangsa Banjir pada 19 Disember 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noraini berkata, usaha berkenaan membabitkan enam negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang dan Johor dengan lebih daripada 20 buah daerah, termasuk dua daerah angkat di Kuala Langat, Selangor dan Temerloh, Pahang.

"Misi bantuan diteruskan ke Mersing dan Pagoh, Johor membabitkan 2,500 kotak bantuan keperluan asas diagihkan kepada mangsa mereka yang terkesan.

"Bantuan kali ini adalah sumbangan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya.

Katanya, KPT juga menggerakkan 23,745 sukarelawan KPT meliputi 4,610 sukarelawan daripada KPT dan agensi serta 19,135 sukarelawan daripada universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Berita Harian X