Jumaat, 14 Januari 2022 | 2:41pm
Mahdzir ketika berucap pada majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Kementerian Pembangunan Luar bandar, di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Mahdzir ketika berucap pada majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Kementerian Pembangunan Luar bandar, di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Naik taraf guru Tabika ke peringkat ijazah

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menaik taraf kelayakan pendidikan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke peringkat ijazah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata cadangan itu bertujuan memberi satu lonjakan baharu dalam pendidikan Tabika KEMAS.

Katanya, pada masa ini terdapat 11,000 guru yang mengajar di Tabika KEMAS berkelulusan diploma dan sudah tiba masanya taraf pendidikan guru Tabika KEMAS ditingkatkan ke taraf ijazah serta pada masa sama mengekalkan guru sedia ada untuk menyambung pendidikan.

"Naik taraf pendidikan guru Tabika KEMAS ini penting selaras perkembangan semasa kanak-kanak kerana kebanyakan Tabika swasta di luar juga sudah menggunakan khidmat guru berkelulusan ijazah," katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 kementeriannya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri 11 KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengambil kira cabaran serta aspirasi kerajaan yang digariskan KPLB berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar pada tahun ini.

Beliau berkata, KPLB akan terus memberikan fokus kepada pembangunan belia luar bandar melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan meningkatkan kualiti pengajaran dari semasa ke semasa agar program kemahiran ditawarkan kekal berada pada tahap tinggi.

"Institusi TVET juga perlu sentiasa menambah baik dan memperkasa program pengajaran dan pembelajaran yang disediakan dengan strategi dan inisiatif baru menerusi penerapan aplikasi Revolusi Industri 4.0.

"Saya menyeru supaya pengukuhan fungsi dan governan institusi TVET KPLB akan terus dipergiat oleh pihak kementerian bagi menangani isu ketidakselarasan tadbir urus dalam kalangan institusi ini. Ia bertujuan mengurangkan pertindihan fungsi, skop, kumpulan sasar serta memastikan penggunaan sumber yang optimum dalam ekosistem yang terangkum," katanya.

Berita Harian X