Jumaat, 14 Januari 2022 | 11:25am
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pakar harus rangka program pascabencana

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa pakar dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama bekerjasama merangka program khas pascabencana.

Titah baginda, ini bertujuan membantu masyarakat mengatasi kesan emosi negatif susulan pandemik COVID-19 dan bencana banjir luar biasa, agar dapat mengukuhkan semula semangat serta kesihatan minda mereka.

"Bencana dan musibah yang melanda, menyebabkan perubahan luar biasa berlaku secara

mendadak dalam kehidupan dan persekitaran.

"Ini tidak harus dipandang remeh kerana kesannya boleh membawa kepada tekanan perasaan, fobia, kegelisahan dan kemurungan. Mereka yang menghadapi masalah seperti ini perlu melalui program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling.

"Oleh itu, beta berpandangan, pakar dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama harus bekerjasama merangka program khas pascabencana untuk membantu masyarakat yang terkesan," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah, pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-74 baginda, di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Tuanku Muhriz bertitah, cabaran berdepan COVID-19 belum berakhir dan semua individu perlu terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, agar jangkitan virus berkenaan dapat dihentikan.

"Belum pun reda dengan COVID-19, kita diduga pula dengan musibah banjir luar biasa sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda.

"Namun, kerajaan berjaya menguruskan keperluan dan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat banjir," titah baginda, yang melahirkan rasa bangga dengan rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum dan agama, bersatu-padu membantu antara satu sama lain, ketika berdepan bencana banjir.

Mengenai senario ekonomi dan pembangunan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz bertitah,

walaupun pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan mencatatkan penyusutan 3.6 peratus pada tahun 2020 kesan daripada COVID-19, itu lebih baik berbanding pencapaian peringkat nasional.

Titah baginda, Negeri Sembilan mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perkapita RM43,859 melebihi paras nasional RM43,378.

Baginda mahu kerajaan negeri menyusun semula strategi pembangunan berdasarkan keperluan dan keutamaan agar dapat memulih serta mensejahtera semula kehidupan rakyat.

"Strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 perlu dijadikan nadi dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi secara komprehensif dan inklusif.

"Pemantapan kemudahan digital juga perlu diperhebat lebih-lebih lagi penerimagunaan teknologi digital berkembang dengan pesat pada masa ini.

"Kepentingan medium digital sewajarnya menjadi teras dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, selain perlu diadaptasi sepenuhnya dalam semua sektor.

"Beta yakin melalui Gerbang Digital Negeri Sembilan atau N9.Digital yang sedang dirancang merentasi kawasan bandar dan juga di luar bandar, mampu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan kepada penerima pingat dan darjah kebesaran agar menjaga dan memelihara kurniaan berkenaan kerana ia sangat berkait rapat dengan martabat dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan.

"Beta ingin menarik perhatian semua bahawa setiap penerima mempunyai amanah untuk

menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan ini dengan memastikan imej,

tatasusila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara," titah

baginda.

Seramai 410 individu hari ini menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-74 baginda hari ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai penerima, dan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung dalam tiga sesi dengan sesi pertama pada hari ini membabitkan 107 penerima, sesi kedua pada 22 Januari dan sesi ketiga pada 27 Januari.

Berita Harian X