Jumaat, 14 Januari 2022 | 11:11am
Sangkar ikan air tawar di Temerloh yang musnah akibat banjir. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Sangkar ikan air tawar di Temerloh yang musnah akibat banjir. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Penternak ikan kerugian lebih RM5.6 juta

KUANTAN: Seramai 251 penternak ikan air tawar di negeri ini mengalami kerugian lebih RM5.6 juta susulan banjir yang melanda akhir tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata jumlah kerugian dijangka terus bertambah apabila penilaian keseluruhan kemusnahan sangkar dan kolam dibuat tidak lama lagi.

Beliau berkata, penternak akuakultur di Pahang kebanyakannya terdapat di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan.

"Banjir yang berlaku menyebabkan sangkar hanyut dan hilang, kerosakan stor serta kematian ikan, termasuk ikan yang terlepas ke Sungai Pahang.

"Estet ikan, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka seluas 15 hektar,

Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar) di Temerloh juga ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik itu.

"Kita menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti," katanya meminta penternak akuakultur melaporkan butiran kerugian dialami akibat banjir kepada Jabatan Perikanan negeri.

Abdullah berkata, pihaknya akan melakukan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

"Di Temerloh, sebanyak 490 sangkar dan kolam terjejas membabitkan kerugian RM8,624, termasuk kawasan Kuala Krau (kerugian) lebih RM437,500 membabitkan sembilan pengusaha dengan 58 petak sangkar yang terjejas.

"Pengeluaran akuakultur di Temerloh tahun lalu sebanyak 2,500 tan bernilai kira-kira RM44.5 juta, manakala jumlah penternak yang berdaftar di negeri ini seramai 1,7000 orang dan nelayan darat seramai 380 orang," katanya.

Berita Harian X