Khamis, 13 Januari 2022 | 8:46pm
Halimah (depan kiri) melakukan tinjauan persiapan sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, hari ini. - Foto Bernama
Halimah (depan kiri) melakukan tinjauan persiapan sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, hari ini. - Foto Bernama

SOP Thaipusam hasil cadangan pengurusan kuil

KUALA LUMPUR: Semua senarai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil dan penilaian risiko kesihatan serta pencegahan penularan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata semua cadangan dan permintaan itu dibentangkan kepada kementeriannya menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa negeri.

Beliau berkata, semua cadangan itu seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk pertimbangan dan kelulusan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada jangkitan pandemik itu.

"Kementerian membawa cadangan dan permintaan mereka ke jawatankuasa Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk dipertimbangkan dari segi keselamatan dan kesihatan rakyat serta penganut, jadi terhasil SOP ini.

"Namun, ada pihak tidak hadir ketika sesi libat urus itu mengeluarkan kenyataan mendakwa saya berjanji macam-macam untuk SOP, sedangkan pengerusi kuil sudah senaraikan cadangan dan permintaan untuk perayaan ini," katanya selepas meninjau persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, hari ini.

Semalam, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara 'paal koodam' dibenarkan bermula Jumaat ini hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara 'kavadi' serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi dan perjalanan serta pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Januari ini serta 19 Januari bermula jam 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Januari ini bermula jam 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.

Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan kementerian berkenaan tidak 'mendengar' permintaan penganut Hindu yang menyambut perayaan itu.

Mengenai SOP di Batu Caves yang menempatkan kuil terbesar di negara ini, Halimah berkata, pihak pengurusan kuil akan menyediakan 'tag' bernombor bagi memastikan jumlah kehadiran 6,000 penganut setiap hari dan 500 orang setiap sesi sembahyang dapat dipatuhi. – BERNAMA

Berita Harian X